DUNIA

Menteri Luar China, Negara-negara Kepulauan Pasifik Bincang Perkongsian Strategik

29/05/2025 04:32 PM

XIAMEN, 29 Mei (Bernama-CMG) -- China mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkasa kerjasama strategik dengan negara-negara Kepulauan Pasifik, menerusi Mesyuarat Menteri Luar China-Negara-negara Kepulauan Pasifik yang berlangsung di sini pada Rabu.

Cadangan itu dibentangkan oleh Menteri Luar China Wang Yi, dalam mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Presiden merangkap Menteri Luar Kiribati, Taneti Maamau.

Wang berkata, hubungan strategik komprehensif antara China dan negara-negara Kepulauan Pasifik kini berada pada tahap yang lebih tinggi, selaras dengan strategi yang diketengahkan Presiden China Xi Jinping bersama para pemimpin dari rantau berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa kerjasama dua hala itu telah meraih kemajuan ketara, melakar pencapaian baharu dan melonjak ke tahap baharu.

Wang turut membentangkan enam cadangan utama untuk membina komuniti berkongsi nasib antara China dan negara-negara Kepulauan Pasifik.

"Kekal bersikap saling menghormati. China tegas menyokong Negara-negara Kepulauan Pasifik dalam melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara masing-masing dan berharap agar Negara-negara Kepulauan Pasifik terus berpegang kepada prinsip satu-China.

"Menjadikan isu pembangunan sebagai satu keutamaan. Kita akan bersama-sama melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global serta memperincikan pembinaan bersama yang berkualiti di bawah 'Inisiatif Jalur dan Laluan' selain mempercepatkan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas dua hala.

"Mempertahankan pendekatan berpaksikan rakyat. Terdapat sebanyak 200 projek 'small and beautiful’ yang berpaksikan rakyat akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

"Terus merancakkan pertukaran dalam kalangan rakyat dan meraikan pendapat dari pelbagai peringkat terutama dalam bidang-bidang termasuk media, belia, wanita dan sukan.

"Menegakkan kesaksamaan dan keadilan. Pelbagai pihak perlu tegas melindungi sistem antarabangsa yang berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan orde antarabangsa berdasarkan undang-undang antarabangsa.

"Perlunya pendekatan 'berat sama dipikul ringan sama dijinjing'. China bersedia mengukuhkan koordinasi dan kerjasama dengan Negara-negara Kepulauan Pasifik dalam tadbir urus iklim di peringkat global," katanya.    

Sementara itu, para menteri luar dari negara-negara Kepulauan Pasifik menyuarakan hasrat untuk menimba pengalaman pembangunan mampan daripada China, di samping mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti infrastruktur dan perubahan iklim.

Sebagai hasil mesyuarat, satu Kenyataan Bersama Menteri Luar China-Negara Kepulauan Pasifik (PICS) diluluskan secara sebulat suara.

China turut mengumumkan senarai langkah pelaksanaan bagi merealisasikan konsensus yang dicapai dalam mesyuarat itu.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428822