BEIJING, 26 Mei (Bernama-CMG) -- Hubungan rakan sejati Kenya-China merangkumi segenap aspek yang strategik, dan tidak pernah berubah dalam tempoh lebih 60 tahun yang lepas.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden China Xi Jinping, Kenya dan China adalah rakan kongsi yang menyasarkan kerjasama saling memanfaatkan demi situasi menang-menang.
Demikian dinyatakan Presiden Kenya William Ruto dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG) di sini baru-baru ini.
Atas undangan Presiden Xi, Presiden Ruto telah mengadakan lawatan rasmi ke China dari 22 hingga 26 April. Kedua-dua pemimpin sepakat untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap komuniti berkongsi nasib China-Kenya pada era baharu.
"Kami mahu menjadikan 100 peratus bekalan elektrik di dalam negeri dijana daripada sumber boleh baharu (TBB) menjelang 2030, dan merealisasikan sepenuhnya ekonomi industri hijau menjelang 2040. Kami sedang mencari peluang kerjasama dengan China dalam aspek ini, terutamanya dalam bidang penjanaan tenaga, dan mencungkil potensi TBB termasuk tenaga suria. China gah dengan teknologi panel suria yang maju.
"Sehingga kini, kerjasama yang kukuh telah terjalin antara Kenya dengan syarikat-syarikat China dalam bidang pembangunan tenaga geoterma di sebahagian lokasi. Teknologi yang dibawa oleh syarikat China amat memuaskan," kata Ruto.
"Pada pandangan saya, masa depan negara kami terletak pada bagaimana memanfaatkan teknologi hijau, sumber hijau, dan tenaga hijau untuk terus maju," kata beliau.
Ketika menilai perkembangan Forum Kerjasama China-Afrika dalam tempoh selama 25 tahun, Ruto berpendapat bahawa forum itu berperanan menyediakan platform yang berkualiti tinggi bagi kerjasama Afrika-China, misalnya menawarkan banyak peluang pelaburan dan mendorong pembangunan infrastruktur, terutamanya dalam bidang pelabuhan, landasan kereta api dan jalan raya di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembinaan bersama.
"Forum Kerjasama China-Afrika bukan sahaja menyediakan platform untuk kita bertukar pandangan dan pendapat, malah mewujudkan syarat untuk kedua-dua pihak meneroka peluang baharu yang saling memanfaatkan demi situasi menang-menang," kata beliau.
--BERNAMA-CMG