GAYA HIDUP

Nera Rancang Rakam Semula Lagu Hatimu Milikku

29/05/2025 12:10 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Nera berhasrat merakam semula lagu Hatimu Milikku sebagai penghargaan buat peminatnya yang terus memberikan sokongan hingga hari ini.

Nera atau nama sebenarnya Queennera Francis Kitingon, 33, berkata hasrat itu bagi memenuhi permintaan peminat selepas  lagu tersebut yang sudah berusia kira-kira sedekad, kembali meraih perhatian di media sosial.

“Saya pun terkejut apabila lagu itu tular semula di platform TikTok. Keadaan itu membuatkan ramai yang mula mencari saya dan meminta untuk membuat versi baharu.

“Jadi, saya rasa ini masa yang sesuai untuk buat sesuatu sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang masih setia,” katanya kepada Bernama selepas sidang media teater Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu, di sini baru-baru ini.

Walaupun kelihatan menyepi daripada dunia hiburan tanah air, Nera sebenarnya aktif berkarya di Sabah sebagai penyampai radio di Kupi-Kupi FM sejak 10 tahun lepas.

pic-2

Pada masa sama, beliau juga terlibat dalam pembikinan filem pendek Roti Kahwin bersempena dengan Pesta Kaamatan tahun ini selain sedang dalam proses menerbitkan beberapa single baharu.

Nera berkata beliau terbuka untuk mengembangkan kerjayanya ke Semenanjung sekiranya diberi ruang yang bersesuaian, walaupun mengakui tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak merupakan cabaran besar.

“Itu satu cabaran paling besar bagi saya sebab saya memang jenis family person. Tapi kalau ada peluang dan saya rasa masih mampu, saya akan buat. Bukan untuk diri saya saja, tapi juga untuk keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nera bakal kembali ke pentas teater menerusi pementasan Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka di sini dari 30 Mei hingga 1 Jun ini bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan.

Membawakan watak utama sebagai Puteri Huminodun, Nera menyifatkan penglibatannya kali ini sebagai satu pengalaman yang berbeza dan mencabar, khususnya dari segi gabungan nyanyian dan lakonan secara langsung.

“Saya memang minat muzik, lakonan dan teater. Huminodun bagi saya satu cabaran kerana ia menggabungkan tiga elemen iaitu nyanyian, lakonan dan persembahan secara langsung. Ini kali kedua saya terlibat dan kali ini mereka tawarkan watak utama tanpa perlu melalui uji bakat.

“Saya lebih biasa dengan lakonan yang berpaksikan jalan cerita, tetapi kali ini ia memerlukan gabungan penuh antara lakonan dan nyanyian,” katanya yang berharap pementasan itu bukan sahaja dapat menghiburkan penonton, malah menjadi ruang untuk mendekatkan masyarakat dengan kekayaan warisan budaya Sabah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428732