SHAH ALAM, 28 Mei (Bernama) -- BAADER, peneraju global dalam bidang pemprosesan dan teknologi makanan, secara rasmi membuka kilang pengeluaran terbaharunya, BAADER Food Systems Asia Sdn Bhd, di sini hari ini.
Detik bersejarah itu menandakan satu lagi pencapaian strategik bagi BAADER, yang secara signifikan memperluas jejak operasinya di Asia Tenggara dan memperkukuh komitmen syarikat itu dalam memupuk inovasi serta amalan lestari dalam ekosistem industri Malaysia yang pesat berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kilang itu akan memainkan peranan penting dalam menawarkan penggunaan mesin berprestasi tinggi, alat pemantauan digital dan teknik-teknik pengeluaran berasaskan data.
Beliau berkata teknologi pemprosesan makanan BAADER yang maju memainkan peranan penting dalam memperkukuh kestabilan dan kecekapan rantaian bekalan makanan.
“Dengan meningkatkan keupayaan pemprosesan, meminimumkan pembaziran dan mengoptimumkan sumber, inovasi BAADER adalah penting dalam menyokong pengeluaran lestari yang diperlukan untuk membekalkan makanan kepada populasi global yang semakin meningkat.
“Acara ini adalah langkah penting dalam usaha berterusan kami untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi pemprosesan dan pembuatan makanan yang maju,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia Ulrike Wolf, Ketua Pegawai Eksekutif Global BAADER Konsul Kehormat Petra Baader dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Bukan Sumber) MIDA Norhizam Ibrahim.
Sementara itu, Amirudin berkata visi BAADER adalah selaras dengan komitmen Selangor untuk meneruskan usaha dalam mengekalkan infrastruktur bertaraf dunia dan kumpulan bakat yang kompeten dari lebih 150 universiti di seluruh negara.
"Dalam penggal kedua saya, saya telah memberikan komitmen bahawa Selangor menyasarkan untuk menawarkan 100,000 peluang pekerjaan yang berkualiti dan bergaji tinggi khususnya kepada golongan muda dan gembira untuk berkongsi bahawa kita kini dalam perjalanan ke arah mencapai perkara itu.
“Selamat Datang ke Selangor dan terima kasih kerana memilih Shah Alam. Bersama-sama, saya percaya kejayaan yang dikecapi BAADER dan Selangor akan menjadi lebih manis demi manfaat semua rakyat Selangor," katanya.
BAADER Food Systems Asia akan berfungsi sebgaai pusat pengeluaran dan inovasi dwitujuan, yang membolehkan pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian khusus bagi pelbagai keperluan industri pemprosesan ayam itik dan ikan di Asia.
Pusat baharu ini melengkapi kehadiran sekian lama BAADER di Singapura dan Beijing sekali gus memperkasa rangkaian globalnya yang luas.
Kapasiti operasi BAADER yang dipertingkat di Malaysia bukan sahaja memperkukuh kemampuannya untuk menyokong pelanggan tempatan malah menggariskan pelaburan berterusan syarikat itu dalam membina rantaian bekalan yang tahan lasak, mendorong inovasi teknologi dan memupuk kerjasama saling menguntungkan di seluru landskap Asia Tenggara.
-- BERNAMA