DUNIA

Kebakaran Kilang Jahitan Di Korea Selatan, Seorang Maut, Empat Cedera

03/06/2025 06:48 PM

SEOUL, 3 Jun (Bernama-Yonhap) -- Satu kebakaran tercetus pada Selasa dipercayai akibat perbuatan khianat di sebuah kilang jahitan di tengah Seoul, Korea Selatan, mengakibatkan seorang maut, menurut pihak berkuasa bomba, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kebakaran bermula di tingkat dua bangunan lima tingkat di Daerah Jung kira-kira 9.35 pagi dan meragut nyawa seorang wanita, kata pegawai.

Seorang lelaki berusia 60-an dikejarkan ke hospital akibat melecur teruk, manakala tiga yang lain cedera ringan. Seorang anggota bomba turut mengalami lecuran tahap pertama pada muka semasa memadam kebakaran, menurut bomba.

Tindak balas kecemasan Tahap 1 diaktifkan kira-kira 9.41 pagi dengan 31 kenderaan dan 115 anggota dikerahkan bagi mengawal kebakaran itu. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada kira-kira 11.02 pagi.

Bomba dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran. Menurut saksi, seorang lelaki dilihat menuang cecair yang dipercayai pelarut cat di lokasi kejadian.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2430409