KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kematian bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Danau Kota di sini Isnin lepas, disahkan akibat tersedak susu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata perkara itu disahkan berdasarkan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
“Punca kematian disebabkan sesak nafas (aspnyxia) akibat tersedak makanan dan susu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bapa bayi itu membuat laporan di Balai Polis Setapak beberapa jam selepas kejadian dipercayai berlaku, iaitu antara 9 hingga 11 pagi.
Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Che Murad Sayang Ramjan ketika dihubungi mengesahkan taska terbabit berdaftar dengan JKM Kuala Lumpur bagi tempoh dari 24 Jan 2025 hingga 23 Jan 2030.
Beliau berkata kapasiti kanak-kanak di taska itu adalah 51 orang dan ketika siasatan untuk pendaftaran, jumlah kanak-kanak di premis tersebut ialah 36 orang.
“JKM sudah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat awal dan setakat ini taska berkenaan masih beroperasi. Pihak kami akan menjalankan siasatan secara telus,” katanya.
-- BERNAMA