PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) -- Akaun aplikasi WhatsApp Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disahkan digodam pihak tidak bertanggungjawab hari ini.
Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan malam ini memaklumkan perkara itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak terperdaya dengan panggilan atau mesej yang mengakui diri sebagai Saifuddin Nasution terutamanya jika ia perkara berkaitan kewangan atau janji temu.
"Pihak kami amat kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap agar masyarakat tidak mudah terperdaya dengan penipuan sebegini.
"Kami juga menasihati orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turut melaporkan tindakan penggodam ini kepada pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA