KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Institut Akauntan Malaysia (MIA) menggalakkan para akauntan menerajui usaha menjalin kerjasama merentas sektor serta sempadan dalam usaha menuju ke arah masa depan yang lestari dan terangkum.
Presidennya Datuk Seri Dr Mohamad Zabidi Ahmad berkata bagi kekal relevan pada masa depan, para profesional perakaunan mesti terus meningkatkan kemahiran dalam bidang utama yang sedang berkembang seperti isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kelestarian serta perubahan digital.
“Kita mesti bersifat mudah menyesuaikan diri, berdaya tahan serta bersedia untuk menyampaikan pandangan kewangan selain bukan kewangan bagi menyokong organisasi dalam mengharungi ketidaktentuan di peringkat tempatan, serantau dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2025 di sini hari ini.
Dilancarkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, persidangan itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Persidangan yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 26 dan 27 Mei ini bertemakan “Kepimpinan Kolaboratif untuk Masa Depan Lestari.”
Tahun ini, persidangan itu menarik hampir 3,800 perwakilan yang menghadiri secara fizikal dan maya.
MIA merupakan badan kebangsaan yang bertanggungjawab terhadap pengawalseliaan dan pembangunan profesion perakaunan serta berfungsi di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
Mohamad Zabidi berkata MIA bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk memperjuangkan kelestarian, melindungi kepentingan awam, memastikan kesinambungan relevan profesion ini pada masa depan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih hijau.
Pada akhir 2022, MIA memperkenalkan Agenda Kelestarian MIA dan melancarkan Pelan Tindakan Kelestarian MIA untuk Profesion Perakaunan semasa Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2024.
Pada Januari 2025, Majlis MIA meluluskan Pelan Hala Tuju Kelestarian MIA bagi melaksanakan pelan tindakan berkenaan yang merangkumi 169 inisiatif dalam tempoh lima tahun dan melibatkan 16 jawatan kuasa.
Inisiatif ini termasuk memudah cara pelaksanaan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan melalui pembangunan keupayaan, menggalakkan penggunaan teknologi untuk pelaporan kelestarian serta melaksanakan Piawaian Antarabangsa mengenai Jaminan Kelestarian 5000 (ISSA 5000) bagi jaminan kelestarian.
-- BERNAMA