AM

Melaka Akan Wujudkan Unit Seni Dan Budaya Perkasa Usaha Pelihara Warisan Seni

26/05/2025 11:56 AM

MELAKA, 26 Mei (Bernama) -- Unit Seni dan Budaya Negeri Melaka akan diwujudkan dalam agenda memperkasakan usaha memelihara dan memulihara seni, warisan dan budaya negeri itu, terutamanya dondang sayang.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata unit berkenaan, dijangka diperkenalkan pada prapelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, pada Julai ini.

Beliau berkata unit itu akan menggabungkan penggiat seni dan budaya Institut Warisan Melaka dan Briged Seni Negeri Melaka, ditempatkan di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka.

“Kita kena bangga kerana dunia ada beratus negara dan beribu bandar, tetapi Melaka dipilih sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Justeru, kita akan buktikan Melaka bukan sahaja negeri bandar warisan dunia UNESCO tetapi seni dan budayanya yang indah dan pelbagai, akan turut diiktiraf pertubuhan itu pada masa akan datang,” katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Negeri Melaka, sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang turut dihadiri Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Latihan dan Galeri Dondang Sayang di Perkampungan Hang Tuah, Duyong bukan hanya sebagai medium mempamer seni warisan tidak ketara itu, tetapi juga pusat pendidikan untuk generasi muda mempelajari sejarah dan seninya.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan pengiktirafan Dondang Sayang sebagai Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh UNESCO pada 2018.

Ab Rauf berkata selain itu, bagi menyokong usaha memperkasakan dan memartabatkan industri Dondang Sayang, kerajaan negeri juga telah membangunkan portal Gerbang Pantun Melaka, untuk mengumpul dan menyebarkan lebih banyak pantun tradisional hak milik dan karya rakyat Melaka.

“Alhamdulillah, setakat ini, lebih 2,000 pantun telah berjaya dihimpunkan dan kerajaan negeri juga turut menganjurkan Bengkel Dondang Sayang sejak Januari tahun ini, untuk membuka peluang kepada pelajar sekolah, mahasiswa dan komuniti belajar dan menghayati seni ini.

“Kita juga akan meneruskan penganjuran Bengkel Dondang Sayang di setiap DUN sempena Program WRUR,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427229