MELAKA, 29 Mei (Bernama) -- Sebanyak 530 kes demam denggi direkodkan di Melaka dalam tempoh 1 Jan hingga 24 Mei lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 347 kes direkodkan di daerah Melaka Tengah, Jasin (124 kes) dan Alor Gajah (59 kes).
“Dalam tempoh itu, sebanyak 16 wabak telah dilaporkan dan kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri kerana mahu tidak mahu kes demam denggi menjadi ancaman pada rakyat Melaka.
“Setiap langkah pembersihan termasuk menerusi program gotong-royong amat penting dalam memutuskan rantaian pembiakan nyamuk Aedes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka, di Rumah Kuaters Angkatan Tentera Desa Tun Razak di Sungai Udang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, yang turut dihadiri Penyelaras DUN berkenaan yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Ab Rauf berkata semua ketua komuniti pemimpin masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), diseru mempergiat program gotong-royong secara berfasa di kawasan masing-masing pada setiap bulan.
Beliau berkata sebagai contoh, usaha tersebut boleh dilakukan menerusi pelaksanaan kempen “1 Jam Setiap Sabtu, Ambil Masa Untuk Cari dan Musnah Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes”, yang turut dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan negeri sebagai usaha kolektif untuk membasmi ancaman denggi hingga ke akar umbi.
“Melaka telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai aspek seperti pelaburan, pelancongan dan pendidikan...kini kita mesti buktikan pula kejayaan sebagai negeri yang bersih, sihat dan bebas denggi,” katanya.
Beliau berkata menjaga kebersihan dan kesihatan persekitaran adalah tanggungjawab semua dan bukannya hanya tanggungjawab pihak berkuasa seperti PBT.
-- BERNAMA