ALOR SETAR, 25 Mei (Bernama) -- Kegagalan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memperoleh Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/2026 berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
Pemilik majoriti KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata kegagalan mendapatkan lesen seperti yang dimaklumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu menyebabkan kelab tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
“Pihak KDA FC mengambil maklum di atas tunggakan yang masih belum dijelaskan dan akan dimuktamadkan kaedah penyelesaiannya selepas sesi perjumpaan bersama semua pihak yang terkesan.
“KDA FC kini juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memastikan kelab terus kekal relevan dan terlibat secara aktif dalam landskap bola sepak negara termasuk penyertaan di platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak KDA FC juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak MFL atas segala kerjasama dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang proses pelesenan berkenaan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab yang terkesan dengan berita ini.
“Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekurangan yang berlaku dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Daud berkata pihaknya menganggap tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi Sang Kenari’ iaitu satu masa untuk memperbaiki diri, memperkukuh asas dan bersiap sedia untuk kembali dengan lebih baik dan tersusun.
“Kami percaya, jatuh bukan pengakhiran tetapi peluang untuk memperbaiki dan membina semula asas yang lebih kukuh. Penyokong akan terus menjadi nadi penting dalam perjalanan ini.
“Terima kasih kepada semua yang tetap berdiri bersama kami, walau dalam waktu paling sukar ini. Semoga satu hari nanti, kita akan kembali lebih stabil dan lebih kuat,” katanya.
-- BERNAMA