EKONOMI

Pelaburan Langsung Komited Ekuinas Melonjak Kepada RM4.9 Bilion Pada Tahun Kewangan 2024

29/05/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pelaburan langsung terkumpul Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) meningkat kepada RM4.9 bilion daripada RM4.5 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, dengan suntikan modal ke dalam ekonomi terkumpul meningkat kepada RM5.6 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat ekuiti swasta berkaitan kerajaan itu berkata dana di bawah pengurusan (FuM) naik 19 peratus kepada RM5 bilion. Sementara itu, nisbah perbelanjaan mengurus (OPEX) kepada FuM kekal mantap dan cekap pada kadar 1.1 peratus.

Ekuinas berkata kadar pulangan dalaman kasar (GIRR) Dana Ekuinas Direct Tranche IV sebanyak 38.9 peratus, manakala Dana Ekuinas Direct (Tranche II) mencatatkan 12.0 peratus.

"Dana Ekuinas Direct (Tranche III) menunjukkan peningkatan sederhana dengan GIRR 1.6 peratus, Sementara itu, Program Penyumberan Luar pula mencatatkan GIRR 3.8 peratus (Tranche I) dan -6.9 peratus (Tranche II)," katanya.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) syarikat portfolio di bawah Dana Ekuinas Direct meningkat 3.3 peratus, pulih kembali daripada penyusutan tujuh peratus pada 2023.

UNITAR Education Group mencatatkan lonjakan Ebitda 77.2 peratus, manakala Medispec (M) Sdn Bhd mencatatkan pertumbuhan 48.7 peratus dan Exabytes Capital Group 30.9 peratus.

"Pencapaian utama Ekuinas pada tahun kewangan 2024 ialah pelupusan strategik kepentingan 50.2 peratus dalam ICON Offshore Bhd pada Mac 2024.

"Satu lagi sorotan penting ialah pelancaran dana Kredit Persendirian Ekuinas bernilai RM800 juta pada November 2024, dengan matlamat menyediakan pembiayaan langsung yang patuh syariah, terkhusus dan inovatif kepada syarikat-syarikat pasaran pertengahan yang kurang mendapat perhatian," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Aliff Omar Mohamad Omar berkata syarikat-syarikat portfolio Ekuinas berkembang maju dan terus berdaya tahan. 

"Peralihan kami kepada bidang penjagaan kesihatan dan farmaseutikal mencerminkan keyakinan kami dalam sektor pertumbuhan tinggi yang berdaya tahan.

"Kami juga melihat potensi dalam perusahaan inovatif dan terkhusus seperti Mizou, dengan teknologi hak miliknya yang menyokong sektor perladangan kelapa sawit yang penting kepada ekonomi Malaysia," katanya.

Syarikat itu akan kekal fokus kepada pelaburan modal secara strategik, penciptaan nilai berpacukan sektor dan meluaskan tawaran penyelesaian modal yang lebih tangkas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428809