AM

KKM Rangka Ruu Pemakanan, Kawal Nutrisi Rakyat Malaysia

24/05/2025 06:10 PM

KUALA  LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan selepas kertas cadangan mengenainya diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni bagaimanapun berkata RUU berkenaan tidak akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

 “Kita telah membawa satu memorandum ke Jemaah Menteri dan ia diluluskan. Buat masa ini, kita sedang dalam proses merangka RUU itu dan ia akan dibentangkan setelah siap, namun bukan dalam tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Jurulatih Utama Cara Hidup Anda Terbaik (JU C-HAT) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini hari ini. 

Pada Oktober lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat Suhaizan Kaiat berkata Akta Pemakanan Malaysia akan digubal untuk mengawal nutrisi makanan rakyat khususnya kanak-kanak.

Selain itu, Lukanisman berkata KKM komited meneruskan usaha membendung obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menerusi penganjuran JU C-HAT Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, yang bertujuan menyokong pelaksanaan Pelan Strategik Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak terus meningkat.

“Bagi kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, kadar ini meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada enam peratus pada 2022.

“Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun, prevalens meningkat daripada 28.5 peratus pada 2017 kepada 30.5 peratus pada 2022 dan ini menunjukkan bahawa seorang daripada tiga kanak-kanak mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti,” katanya.

Lukanisman berkata selain daripada inisiatif JU C-HAT, KKM juga menggunakan pendekatan menyeluruh melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Menangani Masalah Obesiti di Malaysia yang dianggotai oleh pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.

Beliau berkata sejak pelaksanaan JU C-HAT pada 2019, sebanyak 1,207 aktiviti dijalankan oleh kumpulan sukarelawan terlatih di seluruh negara.

Konvensyen JU C-HAT anjuran bersama Persatuan CAKNA Sihat Malaysia dan Bahagian Pemakanan KKM itu menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada jurulatih, pakar pemakanan, guru serta ibu bapa dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh ilmu, perkongsian pengalaman dan jaringan kerjasama ke arah amalan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sekolah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426625