GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) – Yayasan Masa Depan Pulau Pinang (PFF) menganugerahkan 805 biasiswa bernilai RM44.5 juta sejak ia ditubuhkan pada 2015.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata yayasan itu ditubuhkan bagi memupuk bakat tempatan dan menyokong generasi pemimpin masa depan negara yang dibiayai melalui gabungan sumbangan sektor awam dan swasta.
Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, 54 pelajar daripada pelbagai latar belakang telah menerima biasiswa dalam bidang berimpak tinggi seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), perakaunan dan kewangan.
“Sebagai Pengerusi PFF, saya amat berbangga kerana inisiatif biasiswa oleh kerajaan negeri ini telah mencapai tahun ke-10 penubuhannya dan terus berusaha untuk memberi impak positif.
“Dalam merintis pembangunan negeri bagi tempoh 50 tahun akan datang dan untuk kekal sebagai destinasi tumpuan pelaburan, usaha menarik dan mengekalkan bakat menjadi semakin penting dalam memastikan aliran bakat yang berterusan bagi memenuhi permintaan industri yang kian meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Chow berkata PFF mengalu-alukan permohonan daripada bakal pemohon dari seluruh Malaysia untuk memohon biasiswa sama ada PFF Penang Scholar atau PFF Mutiara Scholar.
Beliau berkata calon yang berminat dinasihatkan agar menyemak syarat kelayakan kerana kedua-dua kategori mempunyai kriteria berbeza, antara lain latar belakang kewangan dan akademik pemohon.
“Biasiswa PFF Penang Scholar ditawarkan kepada pelajar yang memperoleh PNGK 3.67 dan ke atas manakala PFF Mutiara Scholar untuk mereka yang memperoleh PNGK antara 3.00 hingga 3.66,” katanya.
Permohonan Biasiswa PFF 2025 dibuka dari 21 Julai hingga 15 Ogos dan para pelajar digalakkan untuk sentiasa mengikuti pengumuman berkala menerusi laman web PFF di www.penangfuturefoundation.my.
-- BERNAMA