AM

Berpanas Demi Santuni Jemaah Haji, Lipan Bara Jadi Tunggak Penting Di Tanah Suci

22/05/2025 01:32 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 22 Mei (Bernama) -- Sejak ditubuhkan lebih sedekad yang lepas, pasukan Unit Peronda Tabung Haji memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia kekal terjamin sepanjang menunaikan ibadah rukun Islam kelima. 

Lebih dikenali sebagai pasukan Lipan Bara, unit ini tidak sekadar membantu menangani isu jemaah haji yang tersasar atau berhadapan kesulitan ketika beribadat di Masjidil Haram mahupun mengalami kesukaran mencari jalan pulang ke maktab penginapan,

Pasukan itu juga turut sama membantu para jemaah yang berhadapan masalah kesihatan tanpa mengira usia sekali gus menunjukkan komitmen padu Lembaga Tabung Haji (TH) dalam memastikan urusan ibadah jemaah Malaysia berjalan lancar serta selesa.

Bagi Sarjan Khairul Anuar Ramli, 53, yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua unit Lipan Bara, beliau bersama ahli pasukan sentiasa siap siaga dalam melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan jemaah haji musim 1446H/2025M terjamin sepanjang berada di Tanah Suci.

“Pelbagai perkara kami hadapi di lapangan, tetapi yang paling tak boleh dilupakan ialah apabila berjaya membantu jemaah yang mengalami masalah, terutama yang terpisah daripada keluarga di Masjidil Haram.

"Ada juga kes jemaah menjadi mangsa penipuan, contohnya mereka membayar untuk perkhidmatan kerusi roda tetapi ditinggalkan di tengah jalan tanpa dihantar ke penginapan seperti dijanjikan," katanya ketika ditemui media di sini.

Ditempatkan di beberapa kawasan strategik, Pengurus Khidmat Pelanggan Zaini Rashid berkata anggota unit ini yang bertugas mengikut syif, dengan penglibatan tujuh anggota dalam satu masa, ditempatkan di enam lokasi berisiko tinggi (hotspot) yang dikenal pasti, antaranya kawasan Marwah serta pintu-pintu utama Masjidil Haram.

Penempatan anggota Lipan Bara dilokasi dengan identiti mudah dikenali menerusi pakaian rasmi mereka, antaranya topi berwarna merah adalah bertujuan memudahkan jemaah untuk mendapatkan pertolongan selain bantuan dapat dihulurkan sesegera mungkin sekiranya berlakunya sebarang kecemasan.

“Walaupun pasukan kami hanya terdiri daripada 15 anggota, tujuh orang bertugas dalam satu-satu syif, kami tetap komited untuk memastikan setiap permasalahan jemaah di sekitar Masjid Al-Haram diselesaikan dengan sebaik mungkin, insya-Allah.

“Jadual syif anggota pasukan ini yang sebelum ini mengikut sistem 8-8-8, iaitu 24 jam dibahagikan kepada tiga syif lapan jam, tetapi telah diubah suai kepada syif selama 6, 8 dan 10 jam bergantung kepada waktu dan cuaca bagi mengurangkan tekanan serta keletihan petugas,” katanya.

Dalam pada itu, Koperal Aqwa Hirzi Ahmad Norhisham, 31, berkata pengalaman pertama bertugas di Tanah Suci dianggap amat bermakna dan mengujakan kerana diberi peluang menyantuni tetamu Allah sambil menunaikan ibadah haji meskipun berdepan cabaran cuaca panas.

"Sebagai peronda kali pertama, cabaran paling besar ialah bekerja dalam cuaca panas terik, suhu boleh mencecah hingga 45 darjah Celsius, terutamanya sekitar  2 hingga 3.30 petang. Namun, bila masuk waktu asar, cuaca mula reda dan menjelang 5 petang, keadaan lebih selesa untuk kami meneruskan tugas," katanya.

Bagi musim haji kali ini, kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia dengan jemaah haji dijadualkan bergerak ke Arafah pada 4 Jun ini sebagai persiapan menghadapi hari wukuf yang dijangka pada Khamis, 5 Jun bersamaan 9 Zulhijjah

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425582