KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Industri insurans am Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.6 peratus daripada RM24.6 bilion pada 2025 kepada RM31.8 bilion menjelang 2029 dari segi premium bertulis kasar (GWP), kata syarikat data dan analisis GlobalData.
Dalam satu kenyataan, ia berkata pertumbuhan ini disebabkan oleh peningkatan kadar premium, permintaan kukuh untuk insurans bencana alam, pemulihan ekonomi, peningkatan jualan kenderaan dan peningkatan kos penjagaan kesihatan.
“Bahagian insurans kenderaan, harta benda dan kemalangan diri dan kesihatan (PA&H) menyumbang 82.6 peratus daripada GWP insurans am pada 2024,” katanya.
Penganalisis Kanan Insurans GlobalData Swarup Kumar Sahoo berkata inisiatif kawal selia untuk membangunkan pasaran insurans dan meningkatkan penembusan insurans akan memacu pertumbuhan industri insurans am di Malaysia.
“Kadar kemalangan lalu lintas yang meningkat dan peningkatan kekerapan bencana alam akan menyokong pengambilan dasar yang lebih tinggi dan pertumbuhan premium dalam industri,” katanya.
Syarikat itu juga berkata pengenalan rangka kerja Modal Berasaskan Risiko 2 (RBC2) baharu bermula pada Januari 2027 akan mengukuhkan industri insurans, meningkatkan keyakinan pelanggan dan menyokong pertumbuhan.
Selain itu, Sahoo berkata kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan pengguna, menyokong permintaan untuk polisi insurans kesihatan.
“Kadar premium akan terus meningkat dengan jumlah populasi yang semakin tua, peningkatan penyakit tidak berjangkit dan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam (antaranya adalah disebabkan peningkatan jumlah pesakit).
“Insurans PA&H dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 7.6 peratus, mulai tahun 2025 hingga2029,” katanya.
Globaldata berkata insurans am lain seperti insurans kewangan, liabiliti, dan marin, penerbangan dan transit, dianggarkan menyumbang baki 17.7 peratus bahagian GWP insurans am pada 2025.
"Pertumbuhan pasaran insurans am Malaysia kekal positif. Peningkatan kesedaran pengguna, perkembangan kawal selia dan kekerapan bencana alam akan memainkan peranan penting dalam membentuk trajektori industri dalam beberapa tahun akan datang.
“Bagaimanapun, jangkaan tarif timbal balik baharu daripada Amerika Syarikat akan mewujudkan ketidaktentuan dan menpengaruhi keadaan semasa,” katanya.
-- BERNAMA