KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk dua penjawat awam dengan seorang daripadanya bergelar "Datuk” bagi membantu siasatan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan bermula 2021 hingga kini.
Menurut sumber, "Datuk” yang juga berjawatan pengarah dan jurutera di sebuah jabatan di ibu negara itu ditahan bersama seorang lagi individu bergelar Datuk yang juga pengarah sebuah syarikat, sepasang suami isteri serta seorang kontraktor.
Kesemua empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an itu ditahan kira-kira 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
“Dua suspek utama berjawatan pengarah dan jurutera itu dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan kerja kontrak pembangunan dan senggaraan dibawah seliaannya antara 2021 hingga kini.
“Pasangan suami isteri bersama bapanya iaitu seorang pengarah syarikat yang bergelar Datuk dan seorang kontraktor disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan rasuah daripada kalangan kontraktor,” menurut sumber itu.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek utama menerima kira-kira RM115,000 daripada orang tengah dalam bentuk wang tunai, pembiayaan ubah suai rumah dan telefon bimbit.
“Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan lima daripada mereka direman hingga Sabtu ini, manakala seorang lagi hingga Khamis ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi,” menurut sumber itu.
Sumber berkenaan memaklumkan, menerusi Op Kepala yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 premis di sekitar Lembah Klang dan Johor semalam, SPRM telah menyita dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM6 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA