SEPANG, 18 Mei (Bernama) -- Pasangan panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi, hari ini secara rasmi dihantar pulang ke China setelah berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014 bagi memenuhi terma perjanjian di bawah Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda.
Majlis bersejarah di Animal Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini diserikan dengan kehadiran Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Too a/l Kim dan wakil Duta Besar China ke Malaysia.
NRES menerusi kenyataan memaklumkan projek kerjasama itu merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China yang menyokong aspek kemampanan di bawah tonggak Malaysia MADANI.
“Malaysia akan terus komited bekerjasama dengan China dalam pemuliharaan spesies Giant Panda dan kerjasama ini diharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara dalam aspek diplomatik dan ekonomi,” menurut NRES.
Malaysia juga mencatatkan pencapaian luar biasa dalam konservasi ex-situ Giant Panda dengan kelahiran tiga anak panda.
Ketiga-tiga anak Giant Panda daripada pasangan tersebut iaitu Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 14 Nov 2017, diikuti Yi Yi dan Sheng Yi pada 29 Ogos 2023, selaras dengan terma perjanjian.
Menurut NRES, projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan China diteruskan melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April lepas bersempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
“Pemeteraian perjanjian baharu ini membolehkan Malaysia menerima sepasang panda gergasi baharu untuk tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2035, dan Malaysia dijadual menerima kehadiran sepasang panda gergasi baharu tahun ini,” menurut NRES.
-- BERNAMA