TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Sekolah daif Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay di Pulau Sebatik di sini akhirnya menerima dua blok bangunan baharu dua tingkat sebagai gantian, yang dilengkapi 12 bilik darjah, sebuah blok pentadbiran dan sebuah surau.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mengadakan lawatan kerja dua hari sempena Program Tindak Susul Parlimen ke kawasan Parlimen Kalabakan bermula Khamis lepas, merasmikan bangunan baharu sekolah berkenaan.
Beliau berkata pembangunan semula SMK Wallace Bay membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keselesaan guru dan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
"Komitmen Kerajaan MADANI terhadap akses pendidikan sangat besar. Sebab itu kita masuk ke pedalaman agar anak-anak kita mendapat manfaat, keselesaan dan keadilan untuk akses pendidikan yang baik," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan bangunan baharu sekolah itu.
Menurut Fadhlina, sebelum ini terdapat 390 sekolah daif di Sabah dan setakat ini 230 sekolah telah siap dibangunkan semula.
Sementara itu, Pengetua SMK Wallace Bay Jumaan Mahmud berkata bangunan baharu itu bukan sekadar struktur fizikal tetapi simbol harapan serta cita-cita tinggi generasi masa depan di Pulau Sebatik.
“Pembangunan semula daripada sekolah daif kepada sekolah dengan bangunan baharu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap komuniti luar bandar, khususnya di Pulau Sebatik. SMK Wallace Bay yang terletak di utara pulau ini mula beroperasi sejak 4 Feb 1974,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mahu menyediakan sekolah yang selesa dan selamat melalui pembangunan semula sekolah daif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 pada 2020, dan projek bangunan baharu itu telah diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Kerja Raya pada 27 Mac lalu.
Beliau berkata KPM sekali lagi menunjukkan keprihatinannya apabila menyedari cabaran untuk memastikan kehadiran murid ke sekolah serta mengatasi isu keciciran pembelajaran di pulau itu.
“Melalui Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan mengambil langkah proaktif apabila meluluskan projek pembinaan asrama sekolah berkapasiti 200 orang murid. Kerja-kerja awal dimulakan pada tahun lalu oleh Jabatan Kerja Raya. Kami amat berterima kasih atas keprihatinan ini,” katanya.
Menurut Jumaan terdapat lebih 300 pelajar di sekolah itu, antaranya dari Kampung Sungai Tongkang dan Mentadak, yang menghadapi kesukaran untuk berulang-alik ke sekolah disebabkan faktor geografi.
Dalam lawatan itu, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi keperluan kemudahan termasuk makmal dan kantin sekolah berkenaan.
Selain SMK Wallace Bay, Fadhlina bersama delegasi KPM serta Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy turut meninjau Sekolah Kebangsaan Mentadak Baru di pulau sama serta Kampung Serudung Laut, Kalabakan.
-- BERNAMA