KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua ahli terutama generasi muda untuk terus menyuburkan semangat juang dan bangkit bersama parti itu yang bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-79 esok.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata ahli parti haruslah memperbaharui tekad dan iltizam serta mempertahankan legasi dan warisan selain bersiap-siaga untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif dan adil.
“UMNO telah melalui hampir lapan dekad perjuangan. Insya-Allah, dengan kesatuan dan keberanian kita akan terus membawa UMNO ke abad yang kedua sebagai parti yang membina, bukan membinasakan!” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Ahmad Zahid berkata UMNO merupakan wadah perjuangan rakyat yang lahir daripada semangat kebangsaan, keikhlasan dan keberanian anak watan yang menolak penjajahan bagi menuntut kemerdekaan.
Malah sejak 1946, beliau berkata UMNO telah menjadi tiang seri kepada pembentukan negara bangsa Malaysia.
“Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran seperti perpecahan, persepsi, politik fitnah dan gelombang perubahan, UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya.
“Bahkan hari ini, UMNO kembali menjadi tunjang kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata 79 tahun bukanlah usia yang kecil dan ia merupakan lambang kematangan dan kekuatan akar perjuangan selain telah melahirkan generasi pemimpin, membangunkan institusi, menegakkan keadilan sosial dan memberi harapan kepada rakyat di kota mahupun di desa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun ke-79 UMNO kepada seluruh ahli parti di setiap peringkat yang sentiasa setia berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air.
-- BERNAMA