DUNIA

Ukraine Sedia Laksana Gencatan Senjata Sekurang-kurangnya 30 Hari Bermula Isnin

10/05/2025 10:12 PM

MOSCOW, 10 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) – Menteri Luar Ukraine Andrii Sybiha berkata pada Sabtu bahawa Kyiv bersama sekutunya bersedia melaksanakan gencatan senjata penuh dan tanpa syarat selama sekurang-kurangnya 30 hari bermula Isnin ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Terdahulu, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Canselor Jerman Friedrich Merz, Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer dan Perdana Menteri Poland Donald Tusk tiba di Kyiv bagi menghadiri sidang kemuncak "pakatan yang sanggup berusaha".

“Ukraine dan semua sekutu bersedia melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya tanpa syarat di darat, udara dan laut sekurang-kurangnya selama 30 hari bermula Isnin ini. Jika Rusia bersetuju dan pemantauan berkesan dapat dijalankan, gencatan senjata yang berkekalan serta langkah-langkah membina keyakinan boleh membuka jalan ke arah rundingan damai,” kata Sybiha dalam hantaran di platform X.

Keempat-empat pemimpin Eropah itu bersama Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky turut mengadakan panggilan telefon yang disifatkan sebagai “berhasil” dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump selepas sidang kemuncak berkenaan. Perbualan itu memberi tumpuan kepada usaha menamatkan konflik Ukraine secara aman.

Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ini mengisytiharkan gencatan senjata sempena Easter dari 19 hingga 21 April. Namun, Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan sebanyak 4,900 pelanggaran dicatat sepanjang tempoh itu. Kementerian Luar Rusia menyatakan bahawa Kyiv gagal menghentikan pertempuran walaupun untuk tempoh 30 jam.

Rusia turut mengisytiharkan gencatan senjata selama tiga hari sempena sambutan ulang tahun ke-80 kemenangan ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua, bermula tengah malam 8 Mei. Pada Sabtu, Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan angkatan tentera Ukraine telah melanggar gencatan senjata sebanyak 9,318 kali.

Putin sebelum ini menyatakan pada Januari bahawa sekiranya ada keinginan untuk mencari penyelesaian, rundingan mengenai Ukraine boleh diadakan dengan sesiapa sahaja.

Menurut beliau, isu utama ialah tempoh jawatan Zelensky telah tamat pada Mei 2024 dan undang-undang Ukraine melarang pegawai kerajaan berunding dengan Moscow. Pada April, Putin mengesahkan kesediaan Rusia untuk mengadakan rundingan tanpa prasyarat dalam pertemuan bersama Utusan Khas Presiden AS Steve Witkoff.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2421647