BUKIT MERTAJAM, 10 Mei (Bernama) -- Tiga pekerja warga asing melecur di beberapa bahagian badan dalam kebakaran gudang yang menyimpan cat serta pelarut di Jalan Permatang Tinggi, Simpang Ampat di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kesemua mangsa adalah warga Nepal berusia 30-an.
“Pihak bomba menerima maklumat daripada pihak gudang bahawa tiga pekerja itu mengalami kecederaan melecur masing-masing di bahagian belakang badan serta tangan kiri dan mereka telah dibawa untuk menerima rawatan di klinik swasta sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
“Kebakaran itu melibatkan dua buah gudang yang terletak di Lot 1135 dan bukan di kawasan Kebenaran Merancang dan premis yang terlibat ialah gudang simpanan cat serta pelarut dan gudang simpanan barangan lusuh dengan anggaran keluasan keseluruhan masing-masing 10,000 kaki persegi,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau juga berkata anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran itu ialah 70 peratus manakala gudang barangan lusuh 15 peratus dan sebuah lori yang berada di gudang simpanan barangan lusuh turut musnah.
John berkata pasukan bomba bertindak memadam dan mengawal api dengan membuat relay pumping menggunakan sumber air dari tangki jentera bomba serta jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Beliau berkata operasi pemadaman turut dibantu oleh balai bomba dan PBS berhampiran yang menyaksikan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada 4.27 petang sebelum kerja-kerja baik pulih dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain.
“Kerja-kerja baik pulih selesai dijalankan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada 8.06 malam ini seterusnya kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, penduduk Pulau Pinang digemparkan dengan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara di Bukit Mertajam yang boleh dilihat dari bahagian pulau negeri itu dan kejadian tersebut turut dikongsikan di media sosial.
-- BERNAMA