GAYA HIDUP

Pameran Tarscape Tampil Karya Seni Berasaskan Bitumen

10/05/2025 08:55 PM

SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan mengangkat bitumen sebagai medium utama dalam eksplorasi seni bertemakan landskap menerusi pameran TARSCAPE: Perjalanan Ekspresi, yang sedang berlangsung di Galeri Shah Alam, Seksyen 14, sehingga 31 Mei depan.

Pengarah Galeri Shah Alam Yayasan Seni Selangor Badrul Kahar Mohd Yusof berkata pameran itu menghimpunkan 56 karya seni daripada 16 artis, termasuk penggiat seni dari Itali yang menggunakan bahan tidak konvensional berasaskan bitumen.

Badrul Kahar berkata pameran berkenaan menjadi ruang baharu seni kontemporari apabila menggunakan bitumen yang lazimnya digunakan dalam industri petroleum dan turapan jalan raya.

pic-2

“Orang ramai berpeluang melihat hasil seni yang meneroka pelbagai konsep seperti memori, perubahan alam sekitar, kemusnahan dan hubungan manusia dengan bumi. Dengan tekstur pekat dan warna hitam, bitumen bukan sekadar bahan fizikal tetapi juga membawa naratif emosi, sejarah dan gambaran alam melalui metafora mendalam,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pameran di sini hari ini.

Tambahnya, TARSCAPE turut menampilkan tafsiran landskap, warisan, budaya dan isu kontemporari seperti perubahan iklim dan pemuliharaan alam.

Dalam majlis sama, karya pelukis Eng-Seong Lim bertajuk Facades & Memories, yang menggunakan bitumen dan akrilik, terjual pada harga RM3,000.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2421632