AM

PMR 2025 Sabah Perlihat Kerjasama Erat Kerajaan Persekutuan, Negeri - Ewon

10/05/2025 01:10 PM

TAWAU, 10 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah memperlihat kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi pendekatan kerajaan secara menyeluruh (whole-of-government), kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata pelbagai agensi dan jabatan di peringkat Persekutuan serta negeri hadir membuka kaunter dan reruai bagi menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung, sekali gus memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan secara menyeluruh.

Katanya kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada PMR 2025 Sabah yang dijadual berlangsung esok turut mencerminkan kerjasama erat kedua-dua peringkat kerajaan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Platform seperti PMR ini memperkasakan kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri melalui penyediaan kaunter perkhidmatan bersama untuk rakyat. Manfaat akhirnya tetap kepada rakyat — itu matlamat kita,” katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia sempena PMR 2025 Sabah di sini, hari ini.

PMR 2025 Sabah diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini selama tiga hari bermula semalam, dan Anwar dijadual merasmikan majlis penutup program itu, esok.

Tawau menjadi tuan rumah bagi PMR 2025 Sabah, satu inisiatif berteraskan rakyat anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku kementerian peneraju, dari 9 hingga 11 Mei ini.

Bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, program ini merupakan gerakan nasional untuk memperkasakan rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan melalui pendekatan keusahawanan.

Ewon berkata bagi aspek keusahawanan, dasar dan inisiatif kerajaan Persekutuan serta negeri diselaraskan agar mampu memberikan impak yang signifikan kepada usahawan dan rakyat secara keseluruhan.

Beliau berkata Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi platform pelbagai kementerian dan agensi untuk menyelaras pelbagai inisiatif secara bersama.

Katanya beliau sendiri mempengerusikan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional yang turut dianggotai menteri dan exco keusahawanan negeri serta pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan hala tuju pembangunan keusahawanan.

“Kerjasama sedia ada antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu terus diperkasakan melalui jawatankuasa bersama. Yang penting, pendekatan whole-of-government ini disemai dalam setiap dasar, khususnya melibatkan pembangunan keusahawanan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2421509