Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 30 April (Bernama) -- Pembebasan dua kapal nelayan Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini mencerminkan kekuatan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta komitmen berterusan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 2012.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata MoU itu menetapkan garis panduan bersama mengenai layanan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasa maritim.
“Ia kekal sebagai kerangka utama dalam menguruskan isu maritim merentas sempadan dan memupuk kerjasama Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Bernama pada Rabu (30 April).
Syed Mohamad Hasrin menekankan bahawa matlamat utama MoU itu adalah untuk melindungi kebajikan nelayan yang seringkali kekurangan peralatan dan mengelakkan kesusahan kepada keluarga mereka.
Duta Besar itu berkata MoU ini juga memastikan komunikasi yang lebih baik antara pihak berkuasa maritim kedua-dua negara, sekali gus mengurangkan salah faham dan memastikan layanan yang adil terhadap nelayan yang tersalah masuk kawasan.
“Pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa meningkatkan kesedaran dalam kalangan nelayan mengenai sempadan kedua-dua negara, manakala nelayan Malaysia perlu memastikan transponder seperti AIS (Automatic Identification System) yang dipasang di bot sentiasa aktif agar bantuan sewajarnya dapat diberikan dalam situasi kecemasan,” katanya.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengesahkan insiden melibatkan dua bot dengan nombor pendaftaran PKFB(U)2000 dan PKFB(U2)2000 pada 27 April pukul 4.45 petang, di perairan sebelah barat daya Pulau Kendi.
Insiden itu berlaku seminggu selepas pertemuan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka di sini, yang mana pengurusan nelayan di sempadan perairan menjadi satu daripada agenda perbincangan.
Ahmad Zahid tiba di Indonesia 20 April bagi lawatan rasmi selama tiga hari untuk mempererat hubungan kedua-dua negara jiran.
Penyelesaian perkara ini turut membuktikan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia, khususnya menerusi pelaksanaan MoU mengenai “The Common Guidelines Concerning Treatment of Fisherman By Maritime Law Enforcement Agencies of Malaysia and Indonesia.”
MoU yang ditandatangani di Bali, Indonesia, pada 27 Jan, 2012, bertujuan untuk melindungi kebajikan nelayan serta mengurangkan potensi insiden penahanan dan penangkapan di kawasan perairan yang dikategorikan sebagai isu sempadan maritim yang belum selesai, secara tidak sengaja.
Syed Mohamad Hasrin juga menegaskan pelaksanaan "MoU Common Guidelines" telah menyumbang ke arah penurunan ketara dalam bilangan nelayan yang ditahan.
-- BERNAMA