AM

Kebakaran Putra Heights: Laporan Teknikal Dijangka Dimuktamad Sebulan Lagi - Amirudin

30/04/2025 04:00 PM

SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- Laporan teknikal berhubung insiden letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata walaupun berdepan kekangan seperti hujan, proses siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dimulakan sejak hari pertama kejadian berjalan sebagaimana dirancang.

“Saya anggarkan JKKP memerlukan sekurang-kurangnya sebulan dari sekarang untuk memuktamadkan laporan siasatan itu sebelum dibentangkan ke Kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya pada sidang media penyerahan bantuan sewa rumah kepada mangsa kebakaran Putra Heights di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Amirudin berkata penutupan jalan ke tempat kejadian di beberapa lokasi yang dibuat sebelum ini juga telah ditarik balik dan kini dibuka semula kepada orang awam.

Beliau berkata hanya sekatan jalan di Pos Kawalan Hadapan di kawasan bencana dikekalkan bagi memberikan kelancaran kepada JKKP, pasukan keselamatan dan pasukan teknikal lain menjalankan siasatan lanjut.

Dalam pada itu Amirudin berkata laporan berkenaan juga akan dibuka untuk tatapan umum sekiranya terdapat keperluan. 

Beliau berkata sebuah jawatankuasa bebas akan dilantik oleh kerajaan negeri bagi menilai dan memastikan siasatan telus telah dilaksanakan sepanjang proses berkenaan.

“Langkah ini bagi membolehkan cadangan komprehensif dapat dibuat kepada kerajaan negeri supaya peristiwa sebegini tidak berulang.

“Kita (Selangor) mempunyai jajaran paip gas dan kawasan berisiko lain seperti jajaran bervoltan tinggi dan jajaran paip air yang mempunyai tekanan cukup tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata pasukan polis telah menamatkan siasatan dari aspek kecuaian, khianat dan kesalahan jenayah lain pada hari ini. 

Beliau berkata pihaknya menetapkan tempoh seminggu untuk laporan mengenainya disiapkan sebelum dibentangkan untuk perhatian umum.

“Laporan siasatan ini juga akan dinilai jawatankuasa bebas berkenaan bagi menjamin siasatan yang baik serta telus telah dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418301