AM

Perlis Tumpu Usaha Promosi Banjaran Nakawan, Tarik Kedatangan Pelancong Domestik

30/04/2025 03:00 PM

KANGAR, 30 April (Bernama) -- Banjaran Nakawan di Perlis yang kaya dengan tarikan alam semula jadi bakal menjadi antara tumpuan kerajaan negeri untuk digiatkan promosi bagi menarik kedatangan pelancong domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata kawasan itu yang merangkumi Wang Gunung hingga ke Kampung Wai, Kuala Perlis mempunyai pelbagai keunikan termasuk formasi batu kapur yang jarang ditemukan serta lebih 1,000 gua yang belum diterokai sepenuhnya.  

“Banjaran Nakawan cukup menarik, batu kapurnya antara yang tercantik di Malaysia. Kita (Perlis) juga ada tiga tasik biru yang sesuai dikunjungi pelancong. Kawasan ini akan kita jadikan fokus pelancongan Perlis tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia bersama penggiat industri pelancongan Perlis di sini hari ini.

Abu Bakar berkata berdasarkan rekod, hampir sejuta pelancong berkunjung ke Perlis dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dengan kehadiran tertinggi direkodkan semasa musim cuti sekolah dan perayaan. 

Beliau berkata pelbagai usaha sedang digiatkan bagi mengekalkan momentum itu termasuk meningkatkan tahap kebersihan, memperbanyak aktiviti pelancongan komuniti serta memastikan harga perkhidmatan kekal berpatutan.  

“Kita mahu pelancong rasa puas hati datang ke Perlis, bukan sahaja kerana keindahan tempatnya, tetapi juga layanan mesra rakyat, makanan yang enak serta persekitaran yang bersih dan selesa,” katanya.  

Sementara itu, Tourism Malaysia dalam kenyataan sempena sesi libat urus itu memaklumkan, program sehari berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara pihaknya dengan penggiat industri pelancongan negeri ke arah menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).  

Perlis menjadi negeri kedua di Zon Utara bagi penganjuran sesi itu selepas program dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.  

Program berkenaan juga merupakan kesinambungan kepada pelancaran logo, lagu, video promosi dan maskot rasmi TMM2026 yang telah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Jan lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418265