KUCHING, 30 April (Bernama) -- Pembekal perkhidmatan telekomunikasi bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, Reach Ten Holdings Bhd bekerjasama dengan CelcomDigi Bhd untuk menyediakan liputan selular kepada komuniti luar bandar melalui penggunaan tenaga dan kos rendah serta perkhidmatan stesen pangkalan sel kecil high data load.
Reach Ten dalam satu kenyataan hari ini berkata kerjasama itu memanfaatkan teknologi satelit sebagai pilihan kos efektif untuk mengatasi rupa bumi Sarawak yang mencabar dan penduduk yang tinggal berselerak, ia akan mengurangkan masa dengan ketara dan usaha yang diperlukan menyediakan rangkaian 4G.
"Di bawah perkongsian strategik itu, Reach Ten akan menyediakan infrastruktur backhaul satelit yang komprehensif dan peranti SatCell, manakala spektrum CelcomDigi akan digunakan untuk menyediakan perkhidmatan 4G," katanya.
Sebagai penyedia perkhidmatan satelit Tahap 1 (Tier 1) dengan pengalaman hampir dua dekad dalam menggunakan teknologi satelit ke lokasi terpencil di Sarawak, Reach Ten boleh menyepadukan perkhidmatan rangkaian 4G CelcomDigi boleh dipercayai dengan lancar serta menghantar dan memasang sistem satelit SatCell di tapak.
Selain mengurangkan perbelanjaan modal dan mempercepatkan pelaksanaan, backhaul satelit juga mempercepatkan penyediaan sambungan internet di luar bandar Sarawak kerana ia tidak memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan dalam infrastruktur konvensional seperti kelulusan akses tanah.
Pengarah Urusan Reach Ten Leo Chin berkata kerjasama itu seiring dengan agenda pertumbuhan digital Sarawak dan kerajaan persekutuan serta menyokong misi mereka untuk menyediakan internet yang pantas dan mampu milik kepada semua tanpa mengira lokasi.
"Dengan kerjasama ini, perkhidmatan rangkaian 4G yang menjimatkan kos akan tersedia di mana-mana sahaja di Sarawak. Penghantaran perkhidmatan internet ini memakan masa untuk perjalanan ke kawasan terpencil," katanya.
Sementara itu, Ketua Wilayah (Sarawak) Perniagaan Enterprise CelcomDigi Yvonne Tan berkata pihaknya teruja untuk menyediakan sambungan internet lancar ke seluruh Sarawak berdasarkan kepakaran Reach Ten dalam perkhidmatan satelit.
“Kerjasama itu membuka pelbagai peluang untuk komuniti kita...daripada ketersambungan kepada pendidikan dan keusahawanan, menggunakan internet sebagai alat penting dalam era data besar, internet pelbagai perkara (IoT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
-- BERNAMA