KUANTAN, 19 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang semalam menahan sebuah vesel nelayan tempatan kerana melanggar syarat lesen dan menggaji kru warga asing tanpa dokumen sah, kira-kira 12 batu nautika dari Timur Laut Nenasi, Pekan.
Pengarah APMM Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata vesel itu ditahan pada 12.45 tengah hari oleh pasukan rondaan agensi itu menerusi Op MAKMUR dan Op TIRIS.
“Pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan enam kru warga Vietnam berusia antara 29 hingga 48 tahun dan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada permit kerja atau kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
“Pemilik bot berkenaan disyaki melanggar syarat lesen sah ditetapkan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata APMM telah merampas bot, peralatan menangkap ikan dan kira-kira 150 kilogram hasil laut yang kemudian dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA