LATEST NEWS   Yinson Holdings Bhd's net profit for the financial year ended Jan 31, 2026 (FY2026) fell to RM683 million from RM1.24 billion in FY2025. | Two dead, four injured in two-vehicle accident at Felda Sungai Ara intersection near Kota Tinggi -JBPM | Malaysia’s inflation was at 1.4 pct in February 2026 with the index points rising to 136.0 from 134.1 in the same month of the previous year -- DOSM | Sabotage National Stability: PDRM to record statements of 14 more individuals to complete investigation papers - IGP | Malaysia’s trade grew by 9.5 per cent to RM245.2 billion in February 2026, supported by continued expansion in exports and imports - DOSM | 

iCents Group Sasar Pertumbuhan Serantau Selepas Penyenaraian

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan fasiliti dan bilik bersih iCents Group Holdings Bhd (iCents Group) merancang untuk mengembangkan operasinya ke Singapura termasuk menubuhkan pejabat baharu di Kuching dan Indonesia susulan penyenaraiannya di Pasaran Ace Bursa Malaysia pada 17 Julai 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan Vincent Ong Mum Fei berkata syarikat itu mahu berkembang ke Singapura dan sedang menyediakan cadangan.

Dana yang dikumpulkan melalui tawaran awam permulaannya (IPO) juga akan digunakan bagi menubuhkan pejabat di Kuching dan Indonesia, yang akan menyokong operasinya di kawasan-kawasan berkenaan.

"Mengenai Kuching, kami kini mempunyai aktiviti perkhidmatan yang berterusan di sana, dengan dua projek sedang berjalan. Selepas IPO, kami merancang untuk menubuhkan sebuah pejabat bagi melayani pasaran Kuching dan memperluaskan rangkaian produk kami sentiasa menjadi keutamaan," katanya pada sidang akhbar yang diadakan bersempena dengan pelancaran prospektus syarikat itu.

iCents Group menyasarkan untuk mengumpulkan RM27 juta melalui IPO, dan daripada hasil, RM4.68 juta akan digunakan bagi pembelian jentera dan peralatan, RM3.02 juta untuk pengembangan perniagaan, RM1.72 juta ke arah pembangunan produk, RM1.5 juta untuk aktiviti pemasaran dan RM4 juta sebagai anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Ong berkata syarikat itu akan membangunkan sebuah kemudahan di Mantin, Negeri Sembilan, tahun ini.

Sementara itu, Ong berkata iCents Group tidak melihat apa-apa kesan serta-merta dari tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Perkhidmatan bilik bersih syarikat itu melayani permintaan daripada sektor semikonduktor, elektronik, pusat data, farmaseutikal dan sains hayat.

"Kami tidak melihat apa-apa kesan segera daripada tarif baharu. Buat masa sekarang, banyak syarikat, terutamanya dalam sektor semikonduktor, mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

"Hanya terdapat kesan yang kecil terhadap perbelanjaan modal," katanya.

iCents Group melalui satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata langkah IPOnya membabitkan penerbitan awam sebanyak 112.50 juta saham biasa baharu, yang mewakili kira-kira 22.50 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan apabila disenaraikan, serta tawaran penjualan 30 juta saham sedia ada, yang mewakili kira-kira enam peratus daripada modal saham yang dibesarkan.

Daripada isu awam sebanyak 112.50 juta saham terbitan, 25 juta saham terbitan akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, 10 juta saham terbitan akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Sebanyak 15 juta saham terbitan akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala baki 62.50 juta saham terbitan akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

"Selain itu, kesemua 30 juta saham tawaran yang akan ditawarkan untuk dijual akan diberikan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian," katanya.

Berikutan pelancaran prospektus, permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup menjelang 5 petang, 2 Julai ini.

Alliance Islam Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk langkah IPO tersebut.

 

-- BERNAMA