BERITA TERKINI   Empat lagi berjaya diselamatkan dari gua yang dilanda banjir di Laos, kata penyelamat | Pertumbuhan pesat Sabah lepasi unjuran, tuntut Kerajaan Persekutuan percepat naik taraf kemudahan antaranya KKIA - PM Anwar | Subsidi petrol, diesel dan LPG Persekutuan untuk Sabah dijangka meningkat kepada RM3 bilion tahun ini - PM Anwar | Sabah terima RM17 bilion peruntukan pembangunan berbanding RM10 bilion hasil, bukti negeri itu tidak dianak tiri - PM Anwar | 

Bank Dunia Unjur Purata Harga Minyak Mentah Brent Sekitar US$86 Pada 2026

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kumpulan Bank Dunia mengunjurkan harga minyak mentah Brent akan kekal tinggi dalam tempoh terdekat sebelum kembali mereda dengan mencatatkan purata US$86 (US$1 = RM3.96) setong pada 2026 dan US$70 setong pada 2027.

Unjuran ini bersandarkan andaian fasa paling kritikal gangguan bekalan berkaitan konflik di Asia Barat berakhir pada Mei, kata bank itu dalam laporan Tinjauan Pasaran Komoditi April 2026 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Laporan itu menyatakan minyak mentah Brent mencatatkan purata US$69 setong dalam tempoh dua bulan pertama 2026 sebelum melonjak kepada sekitar US$100 setong pada Mac dan April.

“Ia juga bersandarkan andaian eksport minyak dari Asia Barat akan kembali pulih selepas gangguan memuncak sekali gus kembali stabil sekitar paras sebelum perang menjelang suku terakhir tahun ini,” tambahnya.

Bank Dunia memaklumkan sekiranya pengeluaran yang digantung disambung semula dan perdagangan kembali normal secara meluas pada separuh kedua tahun ini, lonjakan harga minyak baru-baru ini dijangka beransur berkurangan.

Menjelang penghujung 2026, pasaran minyak diandaikan akan beralih ke arah dinamik sebelum konflik walaupun masih terdapat premium risiko geopolitik yang berterusan serta kesan susulan daripada tempoh gangguan besar dan ketidaktentuan yang tinggi, katanya.

Laporan itu menyatakan penggunaan minyak global diunjurkan merosot sebanyak 0.1 juta tong sehari (mb/d) atau 0.1 peratus pada 2026.

Penurunan ini dipacu oleh tindakan beberapa negara yang mengekang permintaan akibat gangguan di Asia Barat manakala sebahagian negara lain mampu menampung peningkatan penggunaan walaupun pada paras yang lebih rendah daripada unjuran awal.

Bagi suku kedua tahun ini, bank tersebut turut mengunjurkan bekalan minyak akan merosot hampir tujuh mb/d kepada 98.4 mb/d, mencatatkan penurunan suku tahunan terbesar sejak pandemik COVID-19.

Jika andaian asas tersebut kekal dan gangguan bekalan di Asia Barat berkurangan menjelang pertengahan tahun, pengeluaran global dijangka pulih kepada purata 108.3 mb/d pada separuh kedua 2026.

Laporan itu menyatakan unjuran risiko terhadap harga minyak cenderung meningkat kerana harga yang lebih tinggi berkemungkinan berlaku sekiranya gangguan bekalan dan perdagangan berkaitan perang adalah lebih besar daripada yang diandaikan dalam unjuran asas.

Risiko penurunan pula merangkumi kadar penerimaan kenderaan elektrik yang lebih cepat daripada jangkaan, kejutan lanjut terhadap pertumbuhan ekonomi global serta bekalan yang lebih tinggi daripada unjuran, terutamanya pada 2027.

Bank Dunia turut mengunjurkan fasa paling kritikal gangguan pengeluaran dan perdagangan dalam segmen gas asli cecair (LNG) akan berakhir pada Mei 2026 dengan eksport LNG dari Asia Barat dijangka disambung semula dalam bulan-bulan berikutnya tanpa sebarang kerosakan lanjut terhadap infrastruktur.

“Harga di Eropah dijangka melonjak sekitar 25 peratus (tahun ke tahun) pada 2026, memandangkan gangguan bekalan LNG di Asia Barat serta kerosakan jangka sederhana pada kemudahan di Qatar mencetuskan persaingan global berikutan sengit untuk mendapatkan LNG yang sering kali menentukan harga marginal di Eropah bagi mengisi semula inventori yang menyusut.

“Harga di Eropah diunjurkan merosot sebanyak 20 peratus pada 2027 apabila gangguan bekalan berkurangan,” katanya.

-- BERNAMA