Untung Bersih Suku Pertama OSK Naik 11 Peratus Kepada RM138.04 Juta
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- OSK Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026, naik 11 peratus kepada RM138.04 juta.
Peningkatan itu disokong keuntungan operasi lebih kukuh daripada perniagaan hartanah dan perkhidmatan kewangan serta pendapatan pelaburan lebih tinggi daripada pegangan kumpulan dalam RHB Bank Bhd.
Hasil turut meningkat sembilan peratus kepada RM434.65 juta daripada RM400.58 juta pada suku yang sama tahun lepas, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
OSK mempunyai kepelbagaian perniagaan dalam sektor hartanah, perkhidmatan kewangan, perindustrian, perhotelan dan pegangan pelaburan.
Dalam tempoh tersebut, keuntungan operasi meningkat 16 peratus kepada RM80.8 juta, manakala keuntungan daripada syarikat bersekutu naik 10 peratus kepada RM92.4 juta.
Segmen pegangan pelaburan pula menyumbang peningkatan 13 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM83.2 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelum itu.
Peningkatan itu terutamanya disumbangkan oleh lonjakan pendapatan daripada RHB Bank Bhd. OSK memegang 10.27 peratus kepentingan ekuiti dalam bank berkenaan.
Pengerusi Eksekutif OSK Tan Sri Ong Leong Huat berkata meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, kumpulan itu terus melihat asas perniagaan yang stabil dalam segmen hartanah dan perkhidmatan kewangan.
“Kami percaya kumpulan berada dalam kedudukan kukuh untuk mengharungi persekitaran operasi yang sentiasa berubah melalui pengurusan berhemat, ketangkasan operasi serta pelaburan berterusan dalam peluang pertumbuhan.
“Kumpulan juga akan terus membina asas kukuh bagi mewujudkan nilai mampan kepada pihak berkepentingan dalam jangka panjang,” katanya.
Pada masa hadapan, kumpulan itu kekal berhati-hati tetapi optimis berikutan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang berterusan, termasuk kesan krisis Asia Barat terhadap sektor pembinaan, logistik dan kos bahan mentah.
-- BERNAMA