Untung Bersih IJM Corp Susut Kepada RM3.24 Juta, Umum Dividen Kedua Dan Khas
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih IJM Corporation Bhd merosot kepada RM3.24 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (TK2026), daripada RM403.37 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Konglomerat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatan meningkat 10 peratus kepada RM6.88 bilion daripada RM6.25 bilion pada TK2025, terutamanya disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada bahagian pembinaan, pembuatan dan pengkuariannya.
Bagi suku keempat, IJM Corp merekodkan kerugian bersih sebanyak RM173.9 juta, berbanding keuntungan bersih RM128.96 juta bagi suku yang sama tahun lepas, manakala perolehan meningkat 4.2 peratus kepada RM1.9 bilion daripada RM1.8 bilion sebelumnya.
Menurut kumpulan itu, ini terutamanya disebabkan oleh kerugian bersih pertukaran asing sebanyak RM94.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 (S4 TK2025: untung RM311.2 juta) dan RM197.9 juta bagi tahun kewangan 2026 (TK2025: rugi RM42.1 juta).
Selain itu, pengiktirafan rosot nilai terhadap inventori yang tidak terjual sebanyak RM121.6 juta, termasuk bangunan pejabat di Changchun, China; peruntukan untuk kos penyelenggaraan (penurapan semula) bagi lebuh raya di India sebanyak RM51.0 juta dan prestasi lebih lemah dalam bahagian hartanah dan pelabuhan.
Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim kedua peringkat satu sebanyak lima sen sesaham dan dividen khas satu sen sesaham bagi tahun kewangan 2026.
Kedua-dua dividen tersebut akan dibayar pada 24 Julai 2026, kepada pemegang saham pada 30 Jun 2026.
Syarikat itu menjangkakan bahagian pembinaannya akan menunjukkan prestasi yang lebih kukuh pada tahun kewangan akan datang, disokong oleh nilai perolehan kontrak dalam tangan yang kukuh sebanyak RM14.7 bilion, termasuk nilai perolehan kontrak yang belum selesai daripada usaha sama dan syarikat bersekutu.
Bagaimanapun, pasaran hartanah Malaysia menunjukkan tanda-tanda awal penyusutan, didorong oleh sentimen pengguna yang lebih lemah.
“Namun begitu, bahagian hartanah kekal komited untuk meningkatkan jualan projek sedia ada dengan menerima pakai strategi pasaran yang responsif dan meningkatkan pembezaan produk agar selaras dengan jangkaan pembeli yang sentiasa berubah serta ambang kemampuan untuk mencapai prestasi yang lebih baik dalam tahun kewangan akan datang.
“Pendapatan juga akan terus diperkukuhkan menerusi jualan petak tanah.
“Selain itu, bahagian industri dijangka meneruskan prestasi kukuh yang dicapai dalam beberapa tahun kewangan lepas, memandangkan nilai perolehan kontrak dalam tangan yang kukuh dan jangkaan pelancaran berterusan pusat data, bangunan perindustrian berskala besar dan kerja-kerja infrastruktur,” katanya.
Bahagian tol pula dijangka meneruskan aliran perolehan yang stabil kepada kumpulan menerusi konsesi yang matang, manakala perniagaan pelabuhan menjangkakan prospek bercampur-campur disokong oleh penyambungan semula aktiviti perniagaan secara beransur-ansur oleh pelanggan utama.
Bagaimanapun, ia kekal berhati-hati terhadap kesan gangguan perdagangan global yang timbul daripada ketegangan geopolitik.
Dalam pada itu, tertakluk kepada prospek makroekonomi yang tidak menentu disebabkan oleh ketegangan geopolitik, kumpulan itu berkata ia yakin dapat memberikan prestasi operasi yang lebih baik pada tahun kewangan baharu.
-- BERNAMA