Awantec Kekal Untung Pada Suku Pertama, Komited Memajukan Inisiatif AI Dan Transformasi Digital

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- AwanBiru Technology Bhd (Awantec) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026, disokong oleh sumbangan berterusan operasi teras kumpulan dan pengembangan strategiknya dalam menyediakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) kepada pelanggan utama.

Dalam satu kenyataan, syarikat perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pengurusan bakat itu menyatakan ia akan terus memperluas inisiatif teknologinya merangkumi AI, keselamatan siber dan perkhidmatan pengurusan awan dengan memanfaatkan peningkatan penggunaan penyelesaian digital dalam sektor kerajaan dan swasta.

“Kumpulan akan kekal terlibat secara aktif dengan agensi-agensi kerajaan dan perusahaan swasta untuk memacu inovasi digital melalui program pendedahan mendalam AI generatif dan dan AI ejen.

“Inisiatif ini bertujuan mempercepat penyepaduan keupayaan awan termaju dan AI dalam kalangan organisasi, sekali gus memperkukuh kedudukan Awantec sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk agenda transformasi digital Malaysia,” tambahnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Awantec Azizah Ali, dengan lembaran imbangan berdaya tahan, keupayaan teknikal yang kukuh dan fokus berterusan terhadap segmen teknologi digital yang berkembang tinggi, kumpulan itu yakin dengan kemampuannya dalam mengekalkan momentum operasi dan mencipta nilai jangka panjang.

Sementara itu, tahun kewangan syarikat telah diubah dari 30 Jun kepada 31 Disember seperti yang diumumkan pada 16 Oktober, 2025.

Sehubungan itu, Awantec memaklumkan tiada maklumat kewangan yang boleh dibuat perbandingan bagi suku tahun sebelumnya.

-- BERNAMA