Ketelusan, Tadbir Urus Penting Untuk Pelaburan Strategik GLC - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan bersikap terbuka untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menanggung kerugian terancang dalam sektor strategik seperti ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), dengan syarat terdapat ketelusan, tadbir urus baik dan dasar yang jelas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerugian bukanlah kebimbangan utama jika pelaburan tersebut adalah kritikal untuk pembangunan ekonomi masa depan negara.
Walaupun pulangan komersial tetap penting, Anwar berkata pelaburan strategik dalam teknologi dan usaha niaga baharu harus terus diusahakan secara berhati-hati dan bijaksana, kerajaan tidak seharusnya menjadi terlalu bimbang untuk mengambil risiko dalam bidang ini.
“Selagi ia telus, tadbir urus yang baik, kejelasan dasar, isu kerugian bukanlah persoalannya. Sudah tentu, kita mahu mereka mempunyai butiran dalam beberapa perkara, tetapi bagi syarikat yang kritikal kepada ekonomi dan masa depan negara ini, mereka akan bersikap adil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 di Suruhanjaya Sekuriti (SC) malam ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan sedang mengambil usaha besar untuk memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus bagi menangani isu struktur yang telah lama wujud.
Beliau berkata rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan tadbir urus yang lemah selama berdekad-dekad telah merampas peluang daripada komuniti miskin dan terpinggir.
Kerajaan kini sedang berusaha untuk memperbetulkan isu-isu ini melalui tadbir urus lebih baik, melakukan pembaharuan dalam pendidikan dan dasar bersasar.
Anwar berkata usaha pembahaaruan sering kali menjadi sukar kerana mendapat tentangan daripada kumpulan yang selesa dengan sistem lama, termasuk beberapa rakan sekutu politik.
Anwar juga mengakui kebimbangan terhadap pergantungan berterusan Malaysia kepada lebih dua juta pekerja asing.
Beliau berkata negara tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada buruh asing yang berkos rendah jika mahu melonjak naik dalam rantaian nilai ekonomi.
“Kerajaan sedang memperluas latihan melalui institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), universiti dan kolej untuk memperkukuh tenaga kerja tempatan dan melibatkan pihak industri untuk kekal berdaya saing tanpa pergantungan berlebihan kepada buruh asing berkos rendah,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata agenda transformasi pasaran modal Malaysia berpusat pada usaha menukar modal menjadi keupayaan jangka panjang dengan memperkukuh asas ekonomi dan mengaktifkan kumpulan pelaburan domestik.
“Ia juga meningkatkan kebolehlaburan Malaysia, memperkukuh keupayaan teknologi dan industri, serta membolehkan skala daripada pelaburan individu berkembang menjadi ekosistem dan platform serantau.
“Tanpa asas yang baik, tiada apa yang boleh dibina. Kepercayaan adalah penting kerana apabila kepercayaan itu tertanam, ia menjadi lebih mudah untuk modal membantu membina sesebuah negara, katanya.
Kerajaan juga memastikan perusahaan kecil dan sederhana tidak ketinggalan melalui skema pembiayaan mikro, jaminan kredit dan sokongan pembiayaan perumahan.
Beliau berkata pelaburan dalam pembungkusan semikonduktor termaju, kecerdasan buatan (AI), pusat data serta sektor elektrik dan elektronik merupakan contoh usaha Malaysia untuk bergerak lebih maju dalam rantaian nilai.
“Malaysia harus terus memperkukuh ekosistem, keupayaan dan asas bakatnya supaya pelabur bukan sahaja datang ke sini tetapi kekal dan berkembang di sini,” katanya.
-- BERNAMA