BERITA TERKINI   GSF 2.0: Aktivis Malaysia dijangka kembali ke tanah air pada Sabtu ini dan tiba di KLIA pada Ahad (24 Mei) - KP SNCC | GSF 2.0: Semua 428 aktivis flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan, dijangka tiba di Turkiye 10 malam ini - KP SNCC | 

HKBAC Sasar Jadi Peneraju Di Asia Pasifik Selepas Naik Taraf Terminal

Daripada Danni Haizal Danial Donald

HONG KONG, 21 Mei (Bernama) -- Pengendali pangkalan tetap (FBO), Hong Kong Business Aviation Centre (HKBAC) bersedia untuk menjadi peneraju dalam pasaran penerbangan swasta Asia Pasifik (APAC) susulan penyiapan projek penempatan semula dan pengubahsuaian terminal selama lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vivien Lau berkata HKBAC merupakan pemangkin penting di rantau Asia Pasifik.

"Klien teras kami banyak melakukan perjalanan di Asia Tenggara dan wilayah Greater China. Kami amat yakin Hong Kong akan terus berada di hadapan dalam menerajui pertumbuhan trafik udara serantau ini," katanya kepada Bernama semasa lawatan media ke fasiliti HKBAC.

Fasiliti baharu HKBAC menampilkan sky canopy sepanjang 26 meter yang pertama di Asia, merentangi dari terminal hingga ke apron pesawat termasuk kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) yang ditambah baik serta suite untuk golongan kenamaan/berpengaruh (VVIP).

Terminal tersebut turut memperoleh pensijilan daripada pihak berkuasa pelancongan halal global, CrescentRating, menjadikannya projek ruang legar (lounge) lapangan terbang pertama yang menerima pengiktirafan mesra Muslim.

Vivien juga berkata susulan penyiapan projek tersebut, HKBAC menjangkakan untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan dua angka yang kukuh pada 2026.

Beliau berkata naik taraf berskala besar itu telah menggandakan ruang operasi fasiliti tersebut sebanyak tiga kali ganda secara efektif bagi memenuhi permintaan trafik lebih tinggi di Hong Kong dan rantau Asia Pasifik.

"Permintaan trafik kami sebahagian besarnya didorong oleh aktiviti kewangan yang aktif serta acara mega berprofil tinggi di Hong Kong seperti perlawanan bola sepak antarabangsa dan pembukaan Kai Tak Sports Park.

"Melalui peluasan terminal baharu dan terminal yang dinaik taraf ini, kami berhasrat untuk menterjemahkan peluasan fizikal ini kepada peningkatan pergerakan pesawat dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan aktiviti ekonomi di rantau ini semakin rancak," katanya.

Beliau berkata prospek pertumbuhan itu diperkukuh lagi dengan pengaktifan penuh sistem tiga landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada akhir tahun lepas, meningkatkan kapasiti landasan, ketersediaan slot dan peruntukan ruang parkir pesawat.

-- BERNAMA