Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Ketidaktentuan Dasar Eksport Indonesia

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis berikutan ketidaktentuan berhubung dasar eksport Indonesia yang mencetuskan jualan panik, kata seorang penganalisis.

Pengarang Urusan dan Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM menyusut antara RM90 hingga RM130 untuk keseluruhan kontrak bulanan, terkesan dengan jualan besar-besaran susulan butiran baharu mengenai rangka kerja eksport Indonesia yang disemak semula.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Rabu mengumumkan rancangan menyelaras eksport komoditi utama secara berpusat untuk melonjakkan hasil negara dan memperkukuh kawalan terhadap sumber asli.

Di bawah rangka kerja baharu itu, kerajaan akan melaksanakan sistem tadbir urus eksport sumber asli strategik yang baharu melalui sebuah syarikat berkaitan kerajaan, PT Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI) bermula 1 Jun.

Susulan pengumuman oleh pengeluar minyak sawit terbesar di dunia itu, Sathia berkata penjelasan lanjut telah diperoleh berhubung produk-produk yang terlibat dan garis masa pelaksanaannya.

“Bagaimanapun, peranan sebenar agensi berkaitan kerajaan yang baharu ditubuhkan, Danantara Sumberdaya dalam menguruskan eksport masih belum jelas,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 dan Oktober 2026 masing-masing merosot RM112 kepada RM4,403 setan dan RM4,507 setan, manakala kontrak Julai 2026 turun RM123 kepada RM4,433 setan dan kontrak Ogos 2026 menyusut RM125 kepada RM4,458 setan.

Kontrak September 2026 jatuh RM121 kepada RM4,480 setan dan November 2026 susut RM101 kepada RM4,537 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 164,363 lot daripada 164,144 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 283,022 kontrak daripada 283,536 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Mei Selatan turun RM80 kepada RM4,470 setan.

-- BERNAMA