BERITA TERKINI   GSF 2.0: Aktivis Malaysia dijangka kembali ke tanah air pada Sabtu ini dan tiba di KLIA pada Ahad (24 Mei) - KP SNCC | GSF 2.0: Semua 428 aktivis flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan, dijangka tiba di Turkiye 10 malam ini - KP SNCC | 

Strategi Kepercayaan Digital, Keselamatan Data Dijangka Dibentang Pada Suku Ketiga 2026 - Gobind

PETALING JAYA, 21 Mei (Bernama) -- Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026-2030 dijangka dibentangkan secara bersama pada suku ketiga tahun, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata strategi itu kini dalam proses dimuktamadkan dan kerajaan turut memberi tumpuan terhadap penyediaan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan secara berkesan.

"Saya harap dalam suku ketiga tahun ini, kita dapat membentangkan strategi itu dan juga melancarkan agensi yang akan melaksanakannya.

"Di sebalik strategi itu, kita perlu juga ada agensi untuk memastikan bahawa strategi itu dapat kita laksanakan...ia agensi yang sedia ada tetapi kita perlu menstrukturkannya semula supaya ia juga dapat melihat bagaimana ia boleh menguatkuasakan strategi tersebut," katanya.

Gobind berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan alu-aluan pada program RHB Digital Trust Programme di sini, hari ini.

Sementara itu, Kumpulan Perbankan RHB hari ini melancarkan Program Kepercayaan Digital RHB yang menampilkan RHB CyberSecure, alat penilaian kendiri keselamatan siber pertama yang diterajui oleh bank di Malaysia bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memahami dengan lebih baik pendedahan mereka terhadap risiko siber dan penipuan.

Menurut kenyataan dikeluarkan RHB, alat tersebut juga akan membantu menilai tahap kesediaan keselamatan siber mereka, sekali gus membolehkan mereka mengambil langkah yang lebih termaklum dan yakin ke arah memperkukuh daya tahan digital masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, RHB Bank Bhd dan CyberSecurity Malaysia telah bertukar memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkasa kesedaran siber, pembinaan keupayaan, serta daya tahan dalam kalangan perniagaan di Malaysia melalui inisiatif bersama.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Roshdi Ahmad berkata bahawa usaha memastikan ekosistem digital kita selamat memerlukan penggemblengan tenaga secara kolektif antara sektor awam dan swasta.

"Kerjasama dengan RHB ini menyerlahkan kepentingan inisiatif diterajui industri dalam membina daya tahan siber.

"Dengan melengkapi PKS melalui alat pemikiran yang praktikal dan pengetahuan, kami menyokong perniagaan dalam menguruskan ancaman siber yang kian berkembang selain memperkukuh kepercayaan digital secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA