Wasco Catat Untung Bersih RM11.10 Juta Pada Suku Pertama
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Wasco Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM11.10 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2026 daripada RM35.43 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan pula menyusut kepada RM451.23 juta daripada RM719.39 juta, menurut penyedia penyelesaian infrastruktur tenaga bersepadu global itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Jelas Wasco, prestasi bagi suku semasa dipengaruhi faktor penjadualan projek dan fasa pelaksanaan kerja bagi beberapa kontrak utama termasuk kelewatan berkaitan cabaran rantaian bekalan yang menjejaskan kemudahan kumpulan di Qatar dan Dubai.
“Sumbangan daripada projek-projek yang baru diperoleh dijangka meningkat secara berperingkat sepanjang tahun kewangan semasa,” menurut syarikat berkenaan.
Wasco menyatakan segmen perkhidmatan tenaganya mencatatkan perolehan luaran sebanyak RM396.8 juta pada suku pertama 2026, turun daripada RM657.3 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ini berikutan penangguhan pelaksanaan projek yang telah dianugerahkan akibat gangguan rantaian bekalan yang dikaitkan dengan konflik berterusan Asia Barat.
Sementara itu, segmen perkhidmatan biotenaga mencatatkan perolehan luaran sebanyak RM54.4 juta daripada RM61.4 juta sebelumnya, mencerminkan pengurangan penyampaian sistem penjanaan turbin stim serta aktiviti selepas jualan yang lebih rendah.
“Penurunan ini sebahagiannya ditangani melalui aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan yang lebih tinggi bagi sistem tenaga stim,” katanya.
Setakat 31 Mac, 2026, nilai perolehan kontrak Wasco berjumlah RM2.6 bilion, disokong oleh saluran tender aktif merentasi pelbagai rantau dan sektor.
Sebanyak 57 peratus daripada nilai perolehan kontrak kumpulan terus berkaitan dengan projek peralihan tenaga dan tenaga hijau, mencerminkan kedudukan strategik Wasco dalam pembangunan infrastruktur sejajar peralihan tenaga sambil mengekalkan asas perniagaan tenaga konvensionalnya.
“Momentum projek terkini merangkumi kemajuan berterusan kerja-kerja fabrikasi modular yang dianugerahkan oleh Technip Energies serta projek BP Tangguh Ubadari, CCUS dan Compression (UCC) di Indonesia,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco Gian Carlo Maccagno berkata keperluan terhadap infrastruktur yang boleh dipercayai dan dilaksanakan dengan cekap kekal penting dalam menyokong keterjaminan tenaga serta peralihan ke arah sistem tenaga berintensiti karbon lebih rendah.
“Peluang ini disokong oleh keupayaan yang dibina secara berdisiplin oleh kumpulan sejak sekian lama merangkumi kejuruteraan, fabrikasi, salutan paip dan pelaksanaan infrastruktur tenaga,” katanya.
-- BERNAMA