PayDibs Perkukuh Penyertaan Dalam Ekosistem PayNet Dengan Akses Terus Ke DuitNow QR

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Paydibs Sdn Bhd, gerbang pembayaran berteraskan peniaga di Malaysia kini menjadi peserta langsung untuk Payments Network Malaysia (PayNet) bagi penerimaan DuitNow QR (DNQR) yang menandakan satu peningkatan penting dalam infrastrukturnya.

Melalui peningkatan ini, Paydibs memaklumkaan pihaknya kini berhubung secara langsung dengan rangkaian pembayaran nasional Malaysia bagi DuitNow QR sekali gus melengkapkan penyepaduan terus sedia ada dengan FPX (pertukaran proses kewangan).

“Peniaga kini mendapat manfaat daripada akses bersepadu kepada rangkaian pembayaran masa nyata, merangkumi perbankan dalam talian melalui FPX dan pembayaran QR melalui DNQR, semuanya melalui satu platform yang lebih ringkas dan terselaras.

“Perkembangan ini seiring dengan pertumbuhan pesat pembayaran berasaskan QR di Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Paydibs penyertaan secara langsung dengan PayNet juga akan meningkatkan kecekapan kos dan kawalan pemprosesan transaksi selain memberikan peniaga keterlihatan aliran tunai yang lebih baik serta akses dana yang lebih cepat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Paydibs Tee Kean Kang berkata penyepaduan ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh peranannya dalam ekosistem pembayaran Malaysia.

“Dengan penyertaan langsung bersama PayNet untuk DuitNow QR, kami memperkukuh kedudukan sebagai pemeroleh peniaga, membolehkan kami menawarkan penyelesaian yang lebih pantas, kawalan yang lebih baik serta operasi pembayaran yang lebih cekap kepada perniagaan.

“Pada masa yang sama, peniaga mendapat manfaat daripada penerimaan pembayaran yang lebih mudah melalui satu platform dengan akses kepada DuitNow QR merentasi bank dan e-dompet,” katanya.

-- BERNAMA