BERITA TERKINI   Anak bekas MB Perlis dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan kemuka tuntutan palsu lebih RM19,000 | Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bebaskan isteri bekas pengarah Jabatan Air Sabah, bekas timbalan pengarah daripada tuduhan pengubahan wang haram | TLDM cari alternatif sistem peluru berpandu NSM Norway bagi lengkapkan persenjataan kapal pertahanan negara - Menteri Pertahanan | Pengubahan wang haram lebih RM45 juta: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu | MINDEF tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu - Mohamed Khaled | 

Krisis Bekalan Global Masih Berisiko, Kerajaan Akan Terus Laksana Pemantauan

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pasaran tenaga global menunjukkan sedikit kestabilan, tetapi masih memerlukan pemantauan kerana sebarang gangguan baharu boleh memberi kesan kepada kos tenaga dan pengeluaran, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata harga semerta minyak mentah Brent menunjukkan sedikit penurunan pada minggu pertama Mei, apabila bagi tempoh 5 hingga 8 Mei 2026, purata harga Brent turun 8.5 peratus kepada US$108.40 setong berbanding US$118.50 setong pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, paras itu masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar US$68.84 setong sebelum krisis bekalan global tercetus pada 26 Februari 2026.

"Dari segi makroekonomi, kedudukan ekonomi Malaysia masih stabil dengan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 menunjukkan pertumbuhan 5.3 peratus, manakala inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus.

"Angka ini memberi isyarat bahawa ekonomi negara masih berada pada landasan pertumbuhan yang baik, dengan tekanan harga yang masih terkawal," jelas beliau dalam Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini di laman Facebook kementerian, hari ini.

Tambah Akmal Nasrullah, sektor pembuatan turut menunjukkan momentum positif apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 51.6 pada April 2026, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Selain itu, beliau berkata Bank Dunia menyifatkan tekanan ekonomi global ketika ini berlaku secara berlapis, dengan kenaikan harga minyak, baja dan makanan memberi kesan yang berbeza tetapi saling berkait.

Katanya, penilaian tersebut menunjukkan tekanan harga masih tertumpu kepada komoditi utama yang mempunyai kesan limpahan kepada kos pengeluaran dan kos sara hidup.

"Bank Dunia menggariskan empat keutamaan kepada Malaysia iaitu menjamin bekalan tenaga, memperkukuh ruang fiskal, mengurus permintaan tenaga serta menyasarkan bantuan kepada isi rumah dan perniagaan yang benar-benar terkesan," tambahnya. 

Akmal Nasrullah juga berkata cadangan Bank Dunia tersebut juga selari dengan keputusan kerajaan melalui inisiatif yang sedang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat.

-- BERNAMA