Bursa Malaysia Securities Buat Teguran, Denda Pedagang RM59,000 Ekoran Manipulasi Saham

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran dan mengenakan denda RM59,000 terhadap Nurendran a/l Parathan kerana terlibat dalam aktiviti perdagangan manipulatif membabitkan sekuriti pelbagai kaunter.

Dalam kenyataan pada Isnin, pengendali bursa itu menjelaskan pihaknya turut mengarahkan supaya Nurendran digugurkan sebagai Orang Berdaftar (RP) sekiranya beliau masih berdaftar dengan Bursa Malaysia Securities.

Nurendran, ialah wakil CGS-CIMB Securities Sdn Bhd yang bergaji ketika pelanggaran itu, telah menjalankan aktiviti perdagangan silang terselaras secara manipulatif selama empat bulan menerusi Akaun Pelaburan (IVT) yang dikaitkan dengannya serta akaun perdagangan milik dua anggiota keluarganya.

Bursa menjelaskan aktiviti perdagangan yang dijalankan menerusi akaun IVT dan akaun ahli keluarga tersebut menunjukkan ciri-ciri manipulatif.

Aktiviti perdagangan silang terselaras secara manipulatif itu membolehkan ahli keluarganya menjual pada harga lebih tinggi serta mewujudkan gambaran palsu atau mengelirukan mengenai dagangan aktif, dan pasaran atau permintaan, terhadap sekuriti berkenaan.

Turut dikesan ialah strategi “increasing bid”, iaitu pesanan beli dinaikkan secara berperingkat sehingga mencapai paras harga pesanan jual, selain teknik “order slicing” yang digunakan untuk menyerap pesanan jualan dalam kuantiti kecil namun berulang.

Gabungan aktiviti tersebut didapati mempengaruhi harga pasaran dengan mengekalkan atau menaikkan paras harga.

Bursa Malaysia Securities menjelaskan keadaan itu menunjukkan bukti kukuh wujudnya perdagangan yang telah diatur lebih awal dan diselaraskan antara akaun Nurendran dengan akaun ahli keluarganya.

Apabila terlibat dalam aktiviti perdagangan manipulatif itu, Nurendran gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai RP untuk mematuhi etika profesional, integriti dan urus niaga yang saksama, tambah Bursa Malaysia Securities.

Menurut Bursa Malaysia Securities, teguran itu juga sebagai pengajaran kepada RP lain kerana salah laku sedemikian dipandang serius oleh pihak bursa.

-- BERNAMA