Unit Permaju Tamatkan Perniagaan Pengedaran Ford
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Permaju Industries Bhd, Capital Intertrade Sdn Bhd (CISB) menamatkan operasi pengedaran Ford, dengan mengemukakan notis penutupan syarikat dan penyerahan operasi kepada Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd (Sime Darby Auto).
Menurut Permaju syarikat itu menamatkan perjanjian jualan dan perkhidmatan pengedar serta menyerahkan pengedaran Ford yang dimeterai bersama-sama Sime Darby Auto pada 22 April, 2011.
Kedua-dua pihak bersama-sama telah bersetuju untuk menghentikan operasi tersebut menjelang 31 Julai, 2026, jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
“Penamatan itu dibuat selepas pertimbangan dan analisis terhadap prestasi lepas serta kemungkinan semasa dan masa depan yang menunjukkan kekurangan dari segi kemampanan dan potensi pertumbuhan,” tambah Permaju.
Permaju memaklumkan syarikat kini sedang berunding dengan beberapa pengedar lain sebagai kemungkinan penggantian dan akan membuat pengumuman selepas perbincangan dimuktamadkan.
Permaju, yang turut terlibat dalam perniagaan pembangunan hartanah dan perladangan, menjelaskan penamatan tersebut dijangka tidak menjejaskan tahap kadar hutang, keuntungan sesaham, aset bersih dan pegangan saham utama bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept. 2026.
Syarikat itu juga menambah, tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam penamatan tersebut.
-- BERNAMA