BERITA TERKINI   Penerbangan MH8110 bawa 278 jemaah haji terpaksa mendarat di Oman susulan isu teknikal- TH | 

GIIB Holdings Pertimbang Pelaburan Dalam Penjagaan Kesihatan, Beri Penjelasan Terhadap Pertanyaan UMA

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- GIIB Holdings Bhd kini sedang mempertimbangkan potensi pelaburan dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan, walaupun butiran dan terma pelaburan yang dicadangkan itu masih belum dimuktamadkan.

GIIB Holdings memaklumkan demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan mengenai aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini, berikutan kenaikan mendadak harga dan jumlah dagangan sahamnya baru-baru ini.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu menyatakan ia akan membuat pengumuman yang diperlukan selaras dengan Keperluan Penyenaraian (LR) Bursa Securities sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berhubung perkara tersebut.

“Lembaga pengarah tidak menyedari sebarang perkembangan korporat lain berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang tidak diumumkan sebelum ini, yang mungkin menjadi punca kepada aktiviti dagangan itu,” tambahnya.

Pada penutup dagangan hari ini, harga sahamnya melonjak 5.0 sen atau 45.45 peratus kepada 16 sen, dengan 56.81 juta saham diurus niaga.

Pelabur dinasihatkan supaya mengambil maklum tentang jawapan syarikat terhadap pertanyaan UMA yang akan dipaparkan di laman web Bursa Malaysia di bawah ruangan pengumuman syarikat, semasa membuat keputusan pelaburan mereka.

-- BERNAMA