Krisis Bekalan Global: Keyakinan Pelabur Terhadap Johor Kekal Kukuh - Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI, 4 Mei (Bernama) -- Keyakinan pelabur terhadap Johor kekal kukuh meskipun negara sedang berdepan cabaran besar dengan krisis bekalan global, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata keyakinan itu antaranya didorong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilihat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di Asia Tenggara.

Katanya kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi kerajaan negeri seperti Invest Johor, pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah telah membantu memudahkan kelancaran pelaburan di negeri ini.

“Apabila pelabur masuk ke negeri Johor, dengan kegagalan dan cabaran yang berlaku pada peringkat global, mereka melihat kesungguhan kita (kerana) terdapat kemudahan dalam menjalankan perniagaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) berkaitan keyakinan kerajaan negeri bagi memastikan hasil negeri dapat ditingkatkan selain mampu menarik pelaburan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu serta kenaikan harga minyak.

Sehubungan itu, beliau berkata Johor terus tampil ke hadapan pada peringkat dunia dengan menawarkan kestabilan pentadbiran dalam menarik pelaburan, meskipun ketidaktentuan geopolitik berlaku di Asia Barat.

Beliau berkata keyakinan itu antaranya dapat dilihat melalui beberapa lawatan kerajaan negeri ke China termasuk Shanghai dan Beijing pada Disember tahun lepas dan April tahun ini kerana terdapat permintaan daripada syarikat yang berminat melabur di Johor.

“Hasil lawatan kami, lebih 30 syarikat telah menunjukkan minat atau niat untuk mengembangkan operasi mereka di JS-SEZ,” katanya.

Johor merekodkan jumlah pelaburan tertinggi, iaitu sebanyak RM110 bilion pada tahun lepas, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah negara.

Onn Hafiz dilaporkan berkata kejayaan itu bukan sekadar rekod baharu, malah mencerminkan transformasi struktur ekonomi Johor yang semakin matang dan berdaya saing.

Momentum pertumbuhan itu turut dipacu oleh pembangunan JS-SEZ serta kedudukan strategik negeri yang berhampiran dengan satu daripada ekonomi paling maju dan dinamik di Asia.

-- BERNAMA