Azizan Abdul Aziz Dilantik Pengarah Pasaran Modal Islam Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Azizan Abdul Aziz sebagai pengarah pasaran modal Islam (ICM) berkuat kuasa pada hari ini.
Dalam kenyataannya, pengendali bursa tempatan itu memaklumkan Azizan akan menggalas tanggungjawab baharu itu selain jawatan sekarang sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) Bursa.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed menyifatkan pelantikan Azizan sebagai mencerminkan tumpuan berterusan Bursa Malaysia dalam memperkukuh penawaran pasaran modal Islam seiring dengan keutamaan strategik lebih meluas.
“Pengalaman, kepakaran serta pemahaman institusi dimilikinya meletakkan beliau pada kedudukan baik untuk menyediakan hala tuju strategik bagi keutamaan pasaran Islam Bursa selain terus mengemudi sebagai CFO untuk memastikan kewangan yang kukuh,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pasaran modal Islam Malaysia kekal menjadi tonggak utama pasaran modal domestik, malah telah berkembang daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.7 trilion menjelang akhir 2025 dengan ekuiti patuh Syariah dan sukuk masing-masing menyumbang RM1.3 trilion dan RM1.4 trilion.
Bukti kedalaman pelaburan Syariah di peringkat tempatan dapat dilihat menerusi penglibatan syarikat-syarikat patuh Syariah yang mewakili lebih 80 peratus daripada syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia.
Bursa Malaysia juga memaklumkan bahawa Azizan akan menyediakan pengawasan serta hala tuju strategik bagi keutamaan berkaitan pasaran modal Islam.
Ini menerusi kerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalaman dan peserta pasaran untuk menyokong pembangunan berterusan ekosistem ICM dengan membawa lebih 20 tahun pengalaman beliau dalam bidang kewangan, perakaunan, kewangan korporat dan nasihat.
-- BERNAMA