Public Mutual Umum Agihan Pendapatan Melebihi RM99 Juta Untuk Empat Dana
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual, mengumumkan agihan pendapatan berjumlah lebih RM99 juta bagi empat dana untuk tahun kewangan berakhir 30 April, 2026.
Menurut kenyataan pengurus unit amanah tersebut hari ini, agihan itu melibatkan pembayaran sebanyak satu sen seunit bagi Public Islamic Asia Dividend Fund, manakala 0.75 sen seunit masing-masing untuk Public Ehsan Mixed Asset Conservative Fund dan Public Select Mixed Asset Conservative Fund.
Sementara itu, bagi Public Islamic Dividend Fund yang ditetapkan adalah sebanyak 0.50 sen seunit.
Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia, menguruskan lebih 180 dana.
Selain itu, syarikat ini juga merupakan penyedia skim persaraan swasta (PRS) berdaftar yang mengendalikan sembilan dana PRS.
-- BERNAMA