BERITA TERKINI   PM Anwar umum Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment bernilai lebih RM710 juta bagi perkukuh kestabilan pasaran buruh negara | Malaysia masih kekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak naikkan harga - PM Anwar | Kerajaan akan terus ambil langkah-langkah perlu dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global - PM Anwar | Kerajaan cadang perluas perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara - PM Anwar | Kerajaan komited perkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara - PM Anwar | 

Harga Minyak Global Lebih Dipacu Geopolitik, Kesan OPEC Terhad - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatan OPEC+ dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap pergerakan harga minyak global yang kini lebih dipacu faktor geopolitik.

Pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata penentuan harga minyak dunia pada masa ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada OPEC, sebaliknya lebih dipengaruhi ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.

“Penentuan harga minyak ketika ini tidak lagi banyak dipengaruhi oleh OPEC, sebaliknya lebih didorong oleh konflik serta strategi peperangan, bukan sahaja melibatkan Iran tetapi juga Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, jelas bahawa UAE kini dilihat tidak sehaluan dengan negara pengeluar lain, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada keadaan itu menjejaskan perpaduan dalam kalangan negara pengeluar untuk bekerjasama menentukan harga minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Allianz Centre for Governance Speaker Series bertajuk “The New World Order Is Not Order, Let Alone New” di sini hari ini.

Menurut Jomo, meskipun langkah UAE itu boleh menimbulkan persoalan terhadap kesepaduan dalam kalangan negara pengeluar minyak, kesannya terhadap kestabilan harga dalam jangka pendek adalah terhad.

Bagaimanapun, beliau berkata implikasi jangka panjang terhadap pasaran minyak global, termasuk kepada Malaysia, masih sukar diramalkan berikutan ketidaktentuan yang berterusan.

“Dalam menilai perkembangan ini, analisis perlu mengambil kira dinamika semasa serta kemungkinan perubahan landskap bekalan global pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, UAE dilaporkan mengumumkan keputusan untuk keluar daripada OPEC dan OPEC+, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap perpaduan dalam kalangan negara pengeksport minyak.

Langkah itu dibuat ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat terus memuncak, sekali gus meningkatkan risiko kejutan bekalan tenaga serta memberi tekanan kepada ekonomi global.

-- BERNAMA