BERITA TERKINI   Liga Super: Kuching City FC 2-1 Terengganu FC | 10 aktivis GSF 2.0 rakyat Malaysia yang ditahan di perairan antarabangsa telah dilepaskan di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete - SNCC | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Mengenai Output Indonesia

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup tinggi hari ini, didorong jangkaan mengenai bekalan minyak yang lebih terhad berikutan wujud kebimbangan bahawa pengeluaran minyak sawit Indonesia mungkin menyusut tahun ini, kata penganalisis.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata prospek pengeluaran yang lebih rendah di Indonesia telah merangsang sentimen pasaran.

"Laporan mengenai pengeluaran MSM Indonesia mungkin menyusut sehingga dua juta tan berbanding 2025 berikutan cuaca kering akibat El Nino dan kenaikan harga baja yang dikaitkan dengan konflik Asia Barat, dijangka meningkatkan minat belian kerana bekalan diramal lebih terhad," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, dilaporkan Indonesia selaku pengeluar minyak sawit terbesar dunia dijangka mengalami musim kering yang lebih panjang dan buruk pada 2026 berbanding tahun lepas sekali gus meningkatkan risiko kemarau.

Pada akhir dagangan, kontrak Mei 2026 dan Jun 2026 masing-masing meningkat sebanyak RM37 kepada RM4,405 satu tan dan RM4,545 satu tan manakala Julai 2026 menokok RM42 kepada RM4,578 satu tan.

Kontrak Ogos 2026 turut menambah RM45 kepada RM4,604 satu tan, September 2026 meningkat RM49 kepada RM4,621 satu tan dan Oktober 2026 menokok RM51 kepada RM4,629 satu tan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 73,968 lot daripada 93,387 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka susut kepada 256,779 kontrak daripada 259,686 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan meningkat RM30 kepada RM4,560 satu tan.

-- BERNAMA