Keperluan Tingkat Akses Kredit Lebih Inklusif Khusus Kepada Usahawan Baharu - KUSKOP
PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Usaha memperluas akses kredit yang lebih inklusif kepada usahawan baharu dan peminjam kali pertama menjadi tumpuan utama dalam pertemuan antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour hari ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu selaras dengan keperluan memperkukuh daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam suasana ekonomi yang mencabar.
Selain itu, KUSKOP memaklumkan pertemuan itu juga menyentuh potensi pendekatan pembiayaan hibrid atau blended financing (kewangan campuran) bagi menggabungkan kekuatan sektor kewangan dan pasaran modal negara untuk menyokong pertumbuhan PMKS.
"Sim menegaskan bahawa dalam mendepani cabaran semasa, sokongan kepada PMKS memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, institusi kewangan, sektor perbankan dan seluruh ekosistem keusahawanan selari dengan misi KUSKOP 'Hebatkan Perniagaan Malaysia'," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut komited bukan sahaja untuk memastikan lebih banyak perniagaan tempatan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global akibat konflik Asia Barat, malah merebut peluang untuk terus berkembang, meningkatkan produktiviti dan melonjak ke tahap seterusnya.
"Sehingga Mac 2026, pembiayaan kepada PMKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan (DFI) telah mencecah RM443.8 bilion, mewakili hampir 51 peratus daripada jumlah pinjaman perniagaan, merupakan satu asas kukuh untuk diperkasa dengan sokongan lanjut," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KUSKOP memaklumkan Sim turut menyambut baik pengumuman BNM mengenai Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) berjumlah RM5 bilion bagi membantu PMKS yang terjejas akibat krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat yang berterusan.
-- BERNAMA